9 minit lepas azan, bufet Ramadan hotel ‘licin’

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Kemeriahan berbuka puasa bertukar hampa apabila seorang pengunjung mendakwa hidangan bufet di sebuah hotel di ibu negara habis dalam tempoh singkat sehingga ramai pelanggan tidak sempat menjamah makanan.

Menerusi perkongsian tular di media sosial, individu berkenaan memaklumkan keadaan itu berlaku hanya kira-kira sembilan minit selepas azan maghrib berkumandang.

“Baru 9 minit berbuka, apa pun tak ada yang tinggal. Tanya dekat staf kata akan ‘refill’ (isi semula) tapi lambat. Ramai yang tak dapat makan lagi sebab semua dah habis. Baru 7.30, apa pun tak ada.

“Kambing seekor je tu pun dah habis. Padahal (sedangkan) ramai lagi yang beratur. Sampai-sampai je terus ‘perang’ ambil makanan. Dia buat bufet tapi lupa letak dekat poster first come first serve (siapa cepat dia dapat),” tulisnya.

Dalam video itu kelihatan sebahagian pengunjung terpaksa menunggu lama di hadapan kaunter hidangan sementara pihak pengurusan membuat pengisian semula makanan.

Difahamkan harga bufet Ramadan di hotel tersebut bagi dewasa bermula harga RM150 manakala kanak-kanak berharga RM50 dan warga emas RM70.

Tinjauan di media sosial mendapati ada pengguna media sosial yang menyifatkan keadaan itu mungkin berpunca daripada jumlah pengunjung yang terlalu ramai berbanding kapasiti makanan disediakan.

Sebahagian pengguna media sosial lain juga berpendapat pihak pengurusan perlu lebih bersedia terutama pada musim Ramadan yang kebiasaannya menerima sambutan luar biasa.

“Wah betul-betul serbu ni… Hari pertama kan… Mesti hotel ni boleh rancang lebih baik lepas ni,” komen Azizi.

“Macam tak kena pula nak salahkan orang ambil makanan banyak. Maksudnya makanan memang cukup-cukup je, ngam-ngam je,” komen Miss Liluzu.

“Lain kali rancanglah betul-betul, sebab orang dah bayar mahal kot. Kalau tak ada makanan, atau tak cukup, hadkan pengunjung,” komen Anna. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |