Yusoff Rawther bebas tuduhan edar dadah, miliki pistol tiruan

1 day ago 8

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie Muhammed Yusoff, 32, terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut diakhir kes pendakwaan.

Dalam kes berkenaan, tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman.

Pada 28 April lalu, pendakwaan menutup kes selepas memanggil 13 saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 7 April.

Antara saksi itu ialah Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan ahli kimia daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pukul 10.15 pagi pada 6 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis membabitkan Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |