KOTA BHARU – Seorang wanita berusia 74 tahun terpaksa merangkak sejauh 2.5 meter selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di dalam kawasan tali air kering kira-kira pukul 3.50 petang di Kampung Derdap dekat Limbat di sini hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Faizul Mohd. Fauzi berkata, kejadian berlaku ketika warga emas itu memandu kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjual donat di lampu isyarat dekat Pasir Tumboh di sini.
“Semasa anggota bomba tiba di lokasi kejadian, wanita itu sedang merangkak naik ke tebing tali air. Anggota bomba membantu mangsa sebaik sahaja dia naik ke tebing.
“Mangsa dipercayai gagal mengawal kereta ketika membelok ke arah rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. Mangsa memandu kereta sejauh satu kilometer setiap hari untuk menjual donat di kawasan lampu isyarat di Pasir Tumboh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE