Piala Asia 2025: Thailand libas skuad beregu Malaysia

8 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Percaturan Thailand menurunkan muka baharu dalam aksi beregu (double) ternyata berhasil apabila menundukkan skuad sepak takraw negara menerusi keputusan 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan B, Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Thailand yang hadir dengan misi membalas dendam susulan kekalahan kepada Malaysia di Piala Dunia tahun lalu di venue sama, mempertaruhkan gandingan Boonkoom Tipwong dan Sirisak Anuloon, manakala pemain utama mereka, Tanaphon Sapyen, direhatkan.

Malaysia yang dibarisi Noraizat Nordin selaku ‘killer’ dan Aidil Aiman sebagai ‘feeder’ mempamerkan permainan agresif, namun gagal menyekat kemaraan skuad Gajah Perang yang tampil lebih kemas dalam segala aspek permainan.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia bakal menamatkan saingan kumpulan di tangga kedua sekiranya berjaya menumpaskan Taiwan dalam aksi terakhir esok di venue sama.

Peluang pasangan Noraizat–Aidil untuk membalas dendam ke atas Thailand hanya akan hadir jika kedua-dua pasukan mara ke perlawanan akhir.

NORAIZAT Nordin tampil cemerlang ketika berdepan pasukan Thailand di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini. Foto: SYAKIR RADIN

Jurulatih negara, Aswadi Abdullah mengakui pemain gagal memanfaatkan peluang yang ada, namun tetap meletakkan keyakinan tinggi terhadap kebangkitan pasukannya menentang Taiwan untuk memburu slot ke pentas separuh akhir.

“Kita mungkin akan bertemu Thailand semula. Saya harap pemain akan keluarkan permainan sebenar mereka kerana jika itu berlaku, kita mampu beri saingan.

“Set pertama dan kedua, saya liaht perlawanan kita masih seimbang, tapi ada peluang yang patut kita ambil, sebaliknya berlaku beberapa kesilapan. Apa pun, kita perlu fokus untuk aksi penting menentang Taiwan esok. Ini adalah misi wajib menang,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |