SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Kerajaan Negeri Selangor tidak lagi meneruskan tajaan pelajar peringkat ijazah pertama ke Timur Tengah, bermula tahun ini.
Bagaimanapun, pelaksanaan tajaan masih diteruskan untuk program peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, penajaan hanya akan diteruskan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan di peringkat ijazah pertama.
Katanya, ketetapan ini dibuat bagi mengurangkan risiko para pelajar daripada terdedah kepada pengaruh dan anasir yang mengganggu pemikiran serta jati diri pelajar jurusan pengajian Islam Selangor di Timur Tengah.
“Walau bagaimanapun, bagi pelajar persendirian yang tidak mendapat tempat di dalam negeri atau memilih ke Timur Tengah dalam pengajian Islam adalah dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama di Mesir, Jordan dan Maghribi (Morocco) dengan diurus sepenuhnya oleh JAIS.
“Ini bagi memastikan para pelajar
benar-benar bersedia dari sudut fizikal, mental, mempunyai jati diri yang tinggi, menguasai bahasa Arab, memiliki pengetahuan dan keupayaan penting lainnya dalam menghadapi cara pembelajaran, suasana serta cabaran di Timur Tengah,” katanya hari ini.
Tegas beliau, penajaan melanjutkan pengajian ke UIS di peringkat ijazah pertama dilaksanakan sebagai satu usaha memperkukuhkan ekosistem pendidikan agama JAIS yang telah wujud di peringkat rendah dan menengah sejak sekian lama.
Tambahnya, UIS dipilih selaras dengan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah terbukti mampu melahirkan pelajar yang berkualiti dari segi ilmu dan akhlak serta mampu memenuhi pasaran pekerjaan.
Jelasnya lagi, sebarang permohonan amat dialukan kepada pelajar yang telah tamat ijazah pertama pengajian Islam untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana atau PhD di Mesir, Jordan dan Maghribi (Morocco) dengan tajaan LZS dan kerajaan negeri
“Tawaran bagi penajaan peringkat ijazah pertama pengajian Islam ke UIS atau universiti tempatan dan penajaan ke peringkat sarjana serta PhD di Mesir, Jordan dan
Maghribi (Morocco) akan dikeluarkan melalui iklan pada bulan Jun 2025.
“Sesi temuduga akan dilaksanakan untuk menentukan pelajar yang layak,” katanya. – KOSMO! ONLINE