Lima kampung di Gurun, Yan dilanda banjir kilat

17 hours ago 6

SUNGAI PETANI – Empat buah kampung di di Gurun dan sebuah kampung di Yan dilanda banjir kilat awal pagi tadi berikutan hujan lebat lebih dua jam.

Hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 1.30 pagi itu turut menenggelamkan Jalan Gurun-Sungai Petani serta melimpah ke beberapa buah premis kedai yang terdapat d sepanjang laluan itu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Amirul Asyraf Mohamad Maiyidin berkata, kejadian banjir kilat itu berlaku pada awal pagi membabitkan Kampung Sungai Kunyit, Kampung Jelatang, Kampung Masjid Lama serta Simpang 3 Guar Nenas.

“Kita menerima makluman daripada orang awam memaklumkan berlaku kejadian banjir kilat di kampung mereka ekoran hujan lebat awal pagi tadi.

“Sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi dan sebaik tiba kita dapati hanya lima buah rumah di Kampung Sungai Kunyit sahaja yang dimasuki air paras betis manakala rumah penduduk di tiga kampung lain tidak terkesan,” katanya.

Katanya, punca kejadian banjir kilat itu adalah disebabkan oleh limpahan air secara mengejut dan berlebihan ekoran hujan lebat sebelumnya.

“Tiada kerosakan besar melibatkan harta benda dialami penduduk berikutan limpahan air surut dengan cepat.

“Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana penduduk enggan berpindah dari kediaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli yang dihubungi memaklumkan hanya sebuah rumah penduduk di Kampung Titi Teras dimasuki air paras betis dalam kejadian banjir kilat awal pagi tadi.

“Bagaimana pun pemilik rumah berkenaan tidak mahu berpindah selepas air surut sepenuhnya sejam kemudian.

“Suka saya menasihati penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan tepi sungai supaya berhati-hati dan mengambil langkah perlu jika hujan lebat berulang bagi mengelak menjadi mangsa dalam kejadian banjir kilat di situ,” katanya.-KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |