Met Gala 2025, Raja Bollywood gegar Hollywood

19 hours ago 6

PARTI fesyen paling elit di dunia, Met Gala 2025 telah berlangsung di Muzium Metropolitan New York, Amerika Syarikat awal minggu ini.

Parti mega yang mengumpul pereka fesyen, selebriti serta sosialit dari seluruh dunia tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan pada setiap hari Isnin pertama bulan Mei.

Tahun ini, Met Gala mengangkat tema Superfine: Tailoring Black Style yang memberi penghormatan kepada fesyen, terutama buat golongan lelaki.

Jika 10 tahun lalu acara berkenaan hanya dihadiri selebriti Barat, namun kini Met Gala turut diserikan selebriti dari seluruh dunia, termasuklah dari Asia.

Antara selebriti yang mencuri tumpuan tentunya bintang-bintang Bollywood yang sejak kebelakangan ini dilihat mula menguasai pentas bertaraf dunia tersebut.

Tahun ini, empat bintang popular Bollywood diundang sebagai tetamu Met Gala 2025.

Shah Rukh Khan

TAHUN 2025 membuka debut pertama pelakon yang mendapat gelaran King Of Khan itu diundang ke Met Gala. Berita mengenai kemunculan SRK ke Met Gala sudah menjadi tajuk utama media Bollywood beberapa minggu sebelum acara berlangsung.

SRK hadir ke Met Gala bersama pereka fesyen tersohor India, Sabyasachi Mukherjee dan dia turut memakai busana rekaan pereka itu.

SRK memakai sut labuh berwarna hitam yang dipadankan dengan aksesori yang sarat di bahagian dada dan tangan. Dia turut membawa tongkat sebagai aksesori tambahan.

SRK sewaktu ditemu bual pengacara karpet merah mengakui sangat gementar menghadiri acara, memandangkan realitinya dia seorang yang pemalu.

“Saya jarang sertai acara di permaidani merah kerana saya agak pemalu, tetapi Sabyasachi berjaya memujuk saya untuk menghadiri Met Gala pada tahun ini,” katanya.

Kiara Advani

SAMA seperti SRK, Kiara juga pertama kali menghadiri acara Met Gala pada tahun ini. Menariknya dia muncul dalam keadaan berbadan dua.

Kiara tampil jelita memakai busana rekaan pereka fesyen terkenal India, Gaurav Gupta.

Namun, ada yang menyamakan penampilannya dengan Aishwarya Rai sewaktu menghadiri Festival Filem Cannes tahun lalu.

Priyanka Chopra

INI bukan kali pertama aktres yang mencipta nama di Hollywood ini menghadiri acara Met Gala. Hampir saban tahun Priyanka hadir ke acara tersebut sejak debut dalam pada 2017.

Tahun ini Priyanka hadir ke Met Gala bersama suami, Nick Jonas memakai busana rekaan Balmain. Menariknya pada acara inilah merpati dua sejoli ini mula berkenalan sewaktu sama-sama menghadiri acara tersebut pada 2017.

Seperti biasa, Priyanka bijak bergaya dan sering mengikut tema. Penampilannya pada tahun ini turut menuai pujian ramai.

Diljit Dosanjh

PENYANYI dan pelakon terkenal Bollywood ini antara yang paling mencuri tumpuan dalam Met Gala tahun ini. Sama seperti SRK dan Kiara, ini juga momen kali pertama buat Diljit di Met Gala.

Diljit tampil dengan busana rekaan pereka fesyen Prabal Gurung yang menyuntik elemen pendekar epik India. Penampilannya diserikan dengan hiasan batu permata pada bahagian leher dan serban.

Biarpun dikatakan tidak mengikut tema, namun Diljit tetap menuai pujian dek penampilannya yang segak dan kacak.

Read Entire Article
Pertanian | | | |