Piala Asia 2025: Kuadran negara garang libas China

14 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Skuad kuadran sepak takraw lelaki negara membuka kempen Piala Asia Kuala Lumpur 2025 dengan penuh bergaya apabila mudah menundukkan China 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Dengan misi membentuk pasukan terbaik menjelang Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini, Malaysia mempertaruhkan barisan kelas A, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahalril Aiman Halim yang tidak berdepan masalah untuk mendominasi gelanggang.

Pada set pertama, China yang dibarisi Zhang Ruhao, Fan Xu, Wu Haoran dan Lu Shuren memberikan sedikit tekanan awal, namun mereka gagal mengekang servis deras dan libasan bertenaga Afifuddin, sekali gus membolehkan Malaysia menamatkan set itu dengan kemenangan 15-10.

Tersentak dengan asakan bertali arus, China terus tenggelam dalam set kedua apabila barisan negara menggandakan tekanan sehingga menang mudah 15-3 untuk menoktahkan kemenangan pertama mereka di Titiwangsa.

LIBASAN Afifuddin Mohd Razali ketika menentang pasukan China dalam aksi Kuadran di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini. Foto: SYAKIR RADIN

Jurulatih negara, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif ketika ditemui berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan pemain yang berjaya menyesuaikan diri dengan baik selepas sedikit ketinggalan pada awal permainan.

“Set pertama kita sedikit bekerja keras untuk cari rentak, tetapi mereka cepat menyesuaikan diri. Set kedua lebih tersusun dan pemain menguasai perlawanan dengan baik.

“Saya tekankan kepada pemain agar fokus kepada serangan dan kurangkan kesilapan. Serangan yang konsisten akan beri kita kelebihan mata,” katanya.

Tambah beliau, fokus utama pasukan ketika ini adalah untuk mara ke pentas final seperti yang disasarkan oleh persatuan, namun enggan terburu-buru dan mahu mengambil pendekatan ‘satu demi satu perlawanan’.

Skuad negara dijadual menentang Filipina pada jam 8 malam ini untuk memburu slot ke separuh akhir. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |