[VIDEO] Perintah berkurung di Los Angeles ketika protes makin buruk

1 day ago 7

LOS ANGELES, CALIFORNIA – Perintah berkurung dikeluarkan untuk beberapa bahagian di pusat bandar Los Angeles, California malam semalam, selepas polis membuat lebih 114 tangkapan kelmarin berhubung rompakan dan vandalisme di berpuluh-puluh premis perniagaan, lapor agensi berita United Press International.

Arahan itu dikeluarkan ekoran protes selama lima hari bagi membantah serbuan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (AS) serta melihatkan ‘peningkatan tingkah laku yang menyalahi undang-undang dan berbahaya’, kata polis.

Ia berkuat kuasa bermula pukul 8 malam (waktu tempatan) hingga 6 pagi (waktu tempatan) di seluruh kawasan 2.5 kilometer persegi di pusat bandar Los Angeles, dan akan berterusan untuk beberapa hari akan datang. 

Penduduk dan mereka yang bekerja di kawasan tersebut dikecualikan, manakala kurang daripada 100,000 orang tinggal di kawasan terlibat.

“Jika anda tidak tinggal atau bekerja di pusat bandar Los Angeles, elakkan kawasan itu,” kata Datuk Bandar, Karen Bass.

“Penguatkuasaan undang-undang akan menangkap individu yang melanggar perintah berkurung, dan anda akan didakwa,” tambahnya.

Pentadbiran Presiden Donald Trump mengerahkan 700 anggota Marin dan beribu-ribu tentera Pengawal Kebangsaan untuk membantu penguatkuasaan undang-undang. 

Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) berkata, perompak merosakkan 23 perniagaan di kawasan pusat bandar semasa protes kelmarin. 

Ketua LAPD, Jim McDonnell berkata, jumlah tangkapan telah meningkat dengan ketara sejak protes bermula Jumaat lalu.

Penguat kuasa undang-undang tempatan juga sedang menyiasat kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui di kaki lima pusat bandar Los Angeles awal pagi semalam, di mana protes dan rompakan berlaku.

Mangsa yang identitinya belum dikenal pasti itu meninggal dunia, manakala punca kematiannya sedang disiasat. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |