[VIDEO] Perang AS-Iran: Harga minyak melonjak, barang naik, ringgit jatuh

20 hours ago 8

PETALING JAYA – Perkembangan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran mula memberi kesan langsung kepada Malaysia apabila beberapa penerbangan terpaksa dilencongkan susulan penutupan dan sekatan ruang udara di Asia Barat.

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, apabila laluan penerbangan tidak lagi selamat, syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik, dilencongkan atau membatalkan penerbangan.

Menurut beliau, situasi itu menyebabkan perjalanan ke Eropah menjadi lebih jauh, sekali gus meningkatkan kos bahan api dan risiko kelewatan penghantaran kargo udara.

“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan. Eksport bernilai tinggi seperti barangan elektronik banyak dihantar melalui udara. Import penting juga menggunakan laluan sama.

“Apabila penghantaran lewat dan kos meningkat, kesannya akhirnya dirasai pengguna apabila harga barangan turut naik,” katanya dalam satu perkongsian di TikTok.

Tambah beliau, pasaran minyak dunia turut bertindak balas pantas terhadap konflik tersebut memandangkan Iran terletak berhampiran laluan minyak paling kritikal dunia.

“Apabila konflik meningkat, harga minyak melonjak kerana pasaran bimbang gangguan bekalan. Bila minyak naik, kos logistik meningkat dan harga barangan turut terkesan,” jelasnya.

Dalam masa sama, ketidaktentuan global menyebabkan pelabur beralih kepada aset selamat seperti dolar Amerika Syarikat dan emas, sekali gus memberi tekanan kepada mata wang negara membangun termasuk ringgit.

“Aliran keluar modal boleh menekan ringgit. Apabila ringgit tertekan, kos import menjadi lebih mahal,” ujarnya.

Beliau menegaskan, persoalan utama ketika ini bukan sama ada Malaysia akan terkesan atau tidak, sebaliknya tempoh konflik tersebut berlarutan.

“Jika konflik ini singkat, impaknya mungkin terhad. Namun jika berpanjangan, kita perlu bersedia menghadapi tekanan yang lebih besar terhadap ekonomi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

@tzafrul_aziz Perang di Asia Barat. Apa kesannya pada poket rakyat Malaysia? #TZA #EkonomiRakyat ♬ original sound – Tengku Zafrul Aziz
Read Entire Article
Pertanian | | | |