PETALING JAYA – Pemanduan yang sangat laju serta memotong ketika berada di selekoh didakwa boleh menyebabkan terjadinya kemalangan sehingga kenderaan tersebut terbalik.
Menerusi video dimuat naik seorang pemandu bas pada TikTok Muhd Ameerul, dia berkongsi situasi dihadapi seseorang pemandu ketika melalui jalan berbukit dan berselekoh.
“Logik tak kelajuan dalam ‘dashcam’ (video tular bas)? Kelajuan dalam (video) ‘dashcam’ itu walaupun dia ada brek sekalipun, aku berani jamin dia akan terbalik. Jadi di sini ada persoalan pertama.
“Soalan kedua, logik atau tidak memotong ketika di selekoh. Waktu kita nak memotong kenderaan di hadapan, boleh ke ketika berada di selekoh?
“Dua benda ini sepatutnya tak boleh jadi (dilarang buat) sebab dua inilah punca kemalangan terbalik selalunya. Pertama, kelajuan dan kedua, memotong di selekoh. Ini tak boleh buat sebab ini punca kemalangan,” katanya pada video berkenaan.
Lelaki tersebut yang berpengalaman sebagai pemandu treler dan bas berkata, selepas melihat rakaman video kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ yang tular semalam, tidak terlintas difikirannya pemandu bas tersebut memandu dengan laju.
“Sebab kalau dia bawa laju, itu kelajuan tak masuk akal. Walaupun keadaan bas dalam keadaan okay, sekarang ni kelajuan dia tak masuk akal. Jadi di situ ada sesuatu yang tidak betul.
“Ada benda tak kena dengan bas dia ni. Itu kesimpulan saya kerana saya juga bawa bas. Cumanya nak cakap, kalau dia nak bawa laju waktu turun bukit, tak logik. Kelajuan itu walaupun bas dalam keadaan okay, dia tetap terbalik.
“Kedua, saya nampak (dalam video) dia potong di selekoh. Saya terfikir, ‘betul ke tak betul driver ni’. Lepas tu jarak kereta depan dengan kereta nombor dua dekat, dia nak selit pun saya rasa tak lepas,” katanya.
Lelaki itu mendakwa, dia membuat kesimpulan bahawa pemandu bas tersebut terpaksa berbuat demikian.
“Tengok dalam ‘dashcam’, tak ada langsung kesan tekan brek, keadaan situ saya boleh agak, dia tawakal. Maknanya, yelah tak boleh tekan brek, kawal stering saja lah.
“Saya agak kat situ sebab saya bawa bas. Saya letakkan diri saya dalam situasi dia bila terjadi keadaan tersebut, saya pun akan buat begitu. Saya tahu belah kiri adalah gaung, saya rasa lah. Jadi saya pun akan buat macam dia,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, satu klip video ‘dashcam’ sebuah kenderaan tular di media sosial memaparkan sebuah bas terbalik selepas memotong kenderaan lain di kawasan selekoh.
Rata-rata orang ramai mengkritik cara pemanduan bas persiaran tersebut yang dilihat dipandu dalam keadaan berbahaya.
Dalam masa sama, ramai yang mengaitkan kenderaan tersebut dengan kemalangan meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak awal pagi semalam. – KOSMO! ONLINE
@abamtruckers97 Replying to @remyshammatrock upsi part 2 #abamtruckers97 #abangsedangberjuangg #fypシ゚viral🖤tiktok #fyp #fypシ゚ ♬ original sound – Muhd Ameerul