[VIDEO] ‘Hanya barang yang pulang tanpa tuannya’

1 day ago 8

PETALING JAYA – Aksi sekumpulan sukarelawan yang ditugaskan mengemas barangan milik mangsa yang terkorban dalam nahas bas persiaran membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, pada Isnin lalu mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.

Menerusi satu hantaran di TikTok oleh Nurin Rozaini, kelihatan sebuah lori milik UPSI digunakan khusus untuk mengangkut barangan peribadi milik mangsa bagi tujuan dikembalikan ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Semoga barang-barang ini semua selamat sampai ke pangkuan keluarga,” tulis Nurin di ruangan kapsyen video berkenaan.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati orang ramai meluahkan rasa sedih dan hiba mengenangkan proses mengemas barangan milik mangsa yang telah pergi buat selama-lamanya.

“Sedihnya melihat rakan-rakan yang mengemas barang-barang arwah, pasti sambil menangis. Saya sendiri sudah tiga hari menangis menonton video berkaitan tragedi ini,” komen seorang pengguna, Rin Dahlia.

“Boleh bayangkan betapa sedihnya apabila kawan-kawan terpaksa packing (mengemas) barang-barang arwah. Ternampak bantal, katil… Allah, tidak terkata pilunya,” kata pengguna bernama Keisha.

“Boleh bayang betapa sedihnya kawan-kawan yang membantu mengemas barang mereka (mangsa). Mesti tidak henti menangis,” komen Mamasue.

Dalam pada itu, ramai netizen turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan sukarelawan dan pihak UPSI yang bertanggungjawab menguruskan barangan peribadi mangsa.

“Terima kasih kerana membantu menguruskan barang-barang arwah yang terlibat. Tidak terbayang perasaan keluarga yang akan menerima kembali barang-barang ini nanti,” tulis Angah2912.

“Terima kasih warga UPSI yang memudahkan urusan semua pihak. Semoga segala urusan kalian dipermudahkan,” kata Hanani. – KOSMO! ONLINE

@nurinzzz_ semoga barang-barang selamat sampai ke pangkuan keluarga. #upsiberduka #upsi #bas #9jun #gerik #universitipendidikansultanidris ♬ Salam Terakhir – ◦•●◉✿💞🇷 🇪 🇪 🇿💞✿◉●•◦
Read Entire Article
Pertanian | | | |