TVET Smart Chefs sasar tembusi rantau ASEAN

9 hours ago 2

PETALING JAYA – SG Academy salah sebuah institusi peneraju Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah memperkenalkan satu lagi program berasaskan kulinari dikenali sebagai Smart Chefs.

Program tersebut merupakan kerjasama strategik antara institusi berkenaan dengan Bangi Resort Hotel yang kini diiktiraf sebagai pusat bertauliah TVET.

Ketua TVET SG Academy, R. Senthil Mageswaran berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada langkah memperkasa pendidikan kulinari negara melalui integrasi teknologi canggih dan amalan lestari.

Malah katanya, ia juga selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai teras pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Jelas beliau, kerjasama itu juga membuka laluan ke peringkat antarabangsa apabila SG Academy dan Bangi Resort Hotel merancang memperluas model latihan tersebut ke rantau ASEAN.

“Dengan ini, pelajar akan didedahkan kepada konsep Smart Chefs, iaitu pendekatan baharu yang menggabungkan kemahiran sains kulinari, pengurusan dapur digital dan teknologi makanan.

“Model latihan ini menandakan peralihan besar dalam landskap pendidikan kulinari tempatan dengan memberi tumpuan kepada kemahiran masa depan.

“Jadi pelajar bukan sahaja akan didedahkan kepada seni masakan moden, malah dilatih menguasai sistem dapur pintar yang selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Senthil berkata, visi akademi berkenaan adalah untuk melahirkan Smart Chefs yang bukan sekadar tahu memasak, tetapi mampu berinovasi, memahami teknologi makanan dan mengurus dapur berasaskan data.

Beliau berkata model latihan itu berpaksikan dapur pusat  Bangi Resort Hotel yang diperakui FSSC22000, selain disokong kurikulum teknikal bernilai tinggi yang diakreditasi SG Academy.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Pembangunan) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kamaruzaman Md. Ali menyifatkan usaha SG Academy dan Bangi Resort Hotel sebagai model kerjasama strategik berimpak tinggi antara institusi latihan dan industri.

“Inisiatif ini membuktikan kekuatan sistem TVET yang digerakkan bersama oleh pemain industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |