GERIK – Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob mencadangkan agar sebuah pasukan tindak pantas ditubuhkan secara tetap di Pulau Banding di sini bagi menangani sebarang bencana di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).
Katanya, pasukan itu perlu merangkumi klinik, ambulans, anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Ia dapat membantu mencegah kemalangan maut di JRTB tanpa perlunya menunggu pasukan penyelamat dari bandar Gerik atau Jeli semata-mata.
“Ini kerana tempoh perjalanan untuk ke JRTB Pulau Banding mengambil masa antara 45 minit hingga sejam atau lebih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Fathul Huzir berkata, kewujudan pasukan khas yang dilengkapi dengan keupayaan perubatan kecemasan, bantuan teknikal dan logistik amat penting bagi memberi bantuan awal kepada mangsa yang terlibat dengan kemalangan.
“Saya juga ingin menekankan bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan memberi perhatian serius berkenaan cadangan pembinaan semula JRTB. Jalan yang dibina pada 1967 ini telah uzur, dengan tar dan struktur jalannya yang usang dan berteknologi lama.
“Ia perlu dibina dengan material dan reka bentuk baharu, dilebarkan dan dipasang lampu jalan, manakala garisan jalan dan papan tanda yang lebih efisien perlu dipasang bersesuaian dengan keadaan JRTB yang melalui Hutan Simpan Royal Belum,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan jalan baharu itu juga perlu mengambil kira faktor laluan hidupan liar seperti gajah, harimau dan seladang.
“Contohnya membina terowong bawah tanah, jejambat dan laluan atas untuk hidupan liar atau membina jalan yang lebih tinggi seperti di Rawang ByPass. Banyak projek negara luar yang boleh kita kaji dan diambil contoh,” katanya.
Media semalam melaporkan mengenai kemalangan maut membabitkan sebuah bas yang dinaiki 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan sebuah Perodua Alza. Kejadian itu mengorbankan 15 pelajar institusi pengajian tinggi tersebut. – KOSMO! ONLINE