WASHINGTON – Presiden Donald Trump ‘tidak gembira’ Amerika Syarikat (AS) menyertai latihan ketenteraan bersama dengan sekutu rapatnya, Korea Selatan dan mengurangkan kapasiti eksesais bermula hari ini yang bertujuan untuk mengekang Korea Utara.
“Berdasarkan hubungan sangat baik dengan Kim Jong-un dari Korea Utara, saya tidak gembira bahawa AS telah, sejak sekian lama bersetuju untuk menyertai Latihan Ketenteraan Bersama dengan Korea Selatan.
“Latihan ini bukan saja mahal, dengan sebahagian besar kos dibayar oleh Amerika Syarikat (seperti biasa!), malah menghantar isyarat tidak wajar dan bermusuhan kepada sebuah Negara (Korea Utara) yang mana, selagi Donald J. Trump menjadi Presiden, (beliau) tidak akan mengancam, malah menghormati (negara ini),” kata Trump di laman Truth Social.
Trump menambah, sudah terlambat untuk membatalkan latihan tersebut, justeru beliau mengarahkan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth untuk ‘mengurangkan secara ketara’ latihan itu.
Latihan ‘Perisai Kebebasan Ulchi’ yang bermula hari ini selama 11 hari, merupakan eksesais musim panas biasa bagi angkatan tentera Korea Selatan dan AS sebagai persiapan pertahanan dalam menentang Korea Utara yang memiliki senjata nuklear.
Pyongyang sentiasa marah dengan latihan tersebut, mengecamnya sebagai persediaan untuk pencerobohan.
Semasa penggal pertama sebagai presiden, Trump mengadakan pertemuan bersejarah dengan Jong-un, namun gagal mencapai matlamat membendung program senjata nuklear Pyongyang.Beliau kali terakhir bertemu Jong-un pada 2019.
Latihan melibatkan 18,000 askar Korea Selatan dan AS itu akan tertumpu kepada peperangan dron, gangguan GPS dan peranan serangan siber.
Presiden Korea Selatan properdamaian, Lee Jae Myung telah mengubah pendirian anti-Korea Utara pendahulunya sejak berkuasa pada Jun 2025, menawarkan rundingan tanpa syarat kepada Pyongyang.
Namun kepimpinan Korea Utara masih belum membalas tawaran berulangnya. – AFP

2 hours ago
4













































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)


