Masih menuntut, Sera sudah ada tiga bisnes, perusahaan berjaya

2 hours ago 3

“Hobi yang paling saya minati ialah menjual. Berniaga cara saya redakan stres. Saya mula berniaga dari umur lapan tahun lagi, masa tu sebab nak beli pen warna-warni dan aiskrim guna duit sendiri, jadi saya jual mainan bola tikam di sekolah.

“Di sekolah menengah pula, saya pinjam modal sebanyak RM100 daripada ibu saudara untuk menjual makanan ringan di asrama dan berjaya memperoleh jualan sehingga ribuan ringgit.”

Demikian kata Aisyah Maisarah Abd. Razak, 24, atau Sera yang berkongsi perjalanan hidupnya bergelar usahawan dari kecil dan kini mengasaskan Peti Sera Bakery, Farm Visit @ Ladang Mini ISB serta perusahaan sosial, Insective Lab.

Menurut pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Bioteknologi di Universiti Malaya (UM) itu, minat berniaga diwarisi daripada arwah bapanya iaitu seorang ahli perniagaan dan ibunya yang mengusahakan jualan pau serta tart nanas dari rumah.

“Selepas ayah meninggal dunia ketika saya berusia 11 tahun, mama yang ketika itu seorang suri rumah mencari rezeki dengan menjual pau di kawasan perumahan.

“Saya menyaksikan sendiri bagaimana ibu bersusah payah usahakan perniagaannya itu untuk besarkan kami. Semangat ibu itu menjadi pendorong utama saya jalankan perniagaan ketika ini,” kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Kejayaan Sera menggerakkan ketiga-tiga perusahaan tersebut telah mengangkat nama anak kelahiran Kuala Lumpur itu untuk menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah Kepimpinan Keusahawanan Perdana Siswa UM 2023, finalis Anugerah Tokoh Usahawan Siswa Negara 2025 dan penerima Anugerah Perak Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (The Duke of Ediburgh’s International Award).

Kejayaannya dalam perusahaan ulat ini membuatkan ramai pihak memanggilnya untuk memberi ceramah dan berkongsi ilmu termasuk di sekolah, institusi pengajian tinggi dan program kerajaan.

Kredibiliti dan popularitinya juga terbukti apabila sering mendapat liputan media.

Mengulas lanjut mengenai ketiga-tiga perusahaan yang diasaskan olehnya, Sera memberitahu, ia bermula dengan Peti Sera Bakery yang diusahakan bersama ibunya.

“Semuanya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila keluarga saya kehilangan punca pendapatan. Jadi, saya dan ibu belajar berbulan-bulan untuk hasilkan resipi brownies yang betul-betul sedap dengan hanya bermodalkan duit simpanan RM300,” katanya kepada K-Kampus.

KONGSI Sera, ketika umur 18 tahun, dia memang minat membuat kek dan yang paling menjadi ialah brownies, maka ia memberi idea kepadanya untuk menjual kek ini.

“Dari jualan di kawasan perumahan, saya kembangkan pasaran apabila mula belajar di UM dengan meletakkan brownies di kedai-kedai dalam kampus,” katanya.

Farm Visit @ Ladang Mini ISB memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat pelbagai haiwan dan memberi pendedahan tentang pertanian lestari.

Ujarnya, bisnes brownies itu turut menerima sokongan dana Bank Rakyat UniPreneur sebanyak RM3,000 dan sokongan peralatan bakeri seperti oven dari Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kejayaan Sera dalam perniagaan brownies membuatkan namanya menjadi sebutan dan inspirasi pelajar sehingga dijemput memberi ceramah keusahawanan di pelbagai acara universiti.

Bagi bisnes Farm Visit @ Ladang Mini ISB pula bermula ketika Sera di tahun kedua pengajian apabila dia mengetahui adanya ladang penyelidikan di UM yang membela lebih 80 ekor kambing baka kacukan tempatan dan Jerman (Jermasia) yang dibangunkan oleh penyelidik universiti itu.

“Saya nampak ladang ini ada nilai komersial untuk dibuka kepada orang awam sambil mengenali dunia agrobioteknologi, lalu saya cadangkan projek agritourism ini kepada Fakulti Sains.

“Selaku penerima biasiswa daripada Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) saya diberi tajaan sebanyak RM5,000 untuk projek komuniti dan saya pilih untuk memperkasa komuniti UM melalui Ladang Mini ISB.

“Kami rekrut pelajar untuk jadi pemandu pelancong bagi memberi pendedahan tentang pertanian lestari kepada pengunjung. Ladang mini ini juga ada pelbagai haiwan seperti tiga baka kambing, biri-biri, ayam belanda, ayam Arab, ayam mutiara, arnab, itik, ikan tilapia dan ikan laga yang semuanya menjadi tarikan kepada anak-anak kecil.

“Untuk kemasukan, kami mengenakan tiket RM5 bagi pelawat dewasa dan kanak-kanak bawah 12 tahun percuma. Keuntungan yang dijana disalurkan seratus peratus untuk menambah baik ladang mini ini,” terangnya sambil memberitahu projek ini adalah inisiatif agritourism kampus pertama di Malaysia yang dipimpin oleh pelajar.

Foto ketika Sera menerima anugerah Kepimpinan Keusahawanan Perdana Siswa UM 2023.

Seterusnya, Insective Lab adalah perusahaan membiak Lalat Askar Hitam (BSF) untuk menyediakan sumber makanan protein untuk haiwan ternakan, sekali gus mengurus sisa organik dengan lebih cekap dan pantas.

“Ia berlaku secara tidak sengaja apabila saya ternampak satu tempat penyelidikan ulat BSF yang dijalankan oleh Dr. Hidayah Taufek di Ladang Mini ISB. Saya mula tertarik dan berbincang dengan beliau untuk mengkomersialkan idea ini.

“Dari situ saya bina pasukan bersama dua orang penasihat iaitu Dr. Hidayah Taufek dari Fakulti Sains dan Dr. Irene Yong Seok Ching dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi berserta enam rakan di universiti,” ujarnya yang mendapat Geran Perusahaan Sosial daripada Kementerian Pendidikan Tinggi sebanyak RM35,000 untuk menjalankan perusahaan itu.

Tambahnya, ramai orang tidak tahu ulat ini boleh menguraikan sisa makanan dengan sangat laju. Baja kompos lazimnya dibuat mengambil masa dua hingga tiga bulan tetapi ulat ini mampu selesaikannya dalam masa satu malam.

Model bisnes ulat BSF ini terbahagi kepada dua iaitu menjual ulat serta baja dan kedua ialah menjual kursus penternakan ulat (melatih penternak dan petani menjadi pengusaha ulat).

Kejayaannya dalam perusahaan ulat ini membuatkan ramai pihak memanggilnya untuk memberi ceramah dan berkongsi ilmu termasuk di sekolah, institusi pengajian tinggi dan program kerajaan.

Pasukan Insective Lab juga berjaya melatih 12 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai di Kuala Lumpur untuk mengusahakan ladang ulat di sekolah tersebut. Pelajar-pelajar itu juga menerima pelbagai kemenangan yang dipertandingkan di peringkat kebangsaan dengan mengetengahkan keistimewaan ulat tersebut.

“Penternakan ulat BSF ini memberikan saya banyak pengalaman baharu seperti membuat pembentangan di acara-acara besar, mengikuti persidangan, mengenali orang baharu dan orang kenamaan.

“Ramai terkejut apabila saya cakap saya jual ulat. Disebabkan model perniagaan Insective Lab ini unik, ramai yang tertarik untuk bertanya macam-macam soalan. Dari situlah perbincangan terbuka luas untuk saya terangkan tentang waste-to-wealth, circular economy dan potensi sains bioteknologi,” katanya.

Ditanya mengenai caranya seimbangkan perniagaan dan kekal cemerlang dalam pelajaran dengan menerima anugerah dekan setiap semester, Sera berkata, dia menahan diri daripada meluangkan masa membuat nota yang dihias cantik berwarna-warni, sebaliknya fokus kepada menulis dapatan dalam kelas secara bullet point sahaja menggunakan iPad. Yang penting kemas dan jimat masa.

“Saya juga selektif dengan aktiviti yang saya sertai supaya tenaga dan masa tidak terbahagi terlalu banyak. Bagi perniagaan pula, saya memilih model bisnes yang boleh diautomasi tapi memberi hasil pendapatan yang selesa seperti Peti Sera Bakery serta memilih dua sahaja yang memerlukan peruntukan masa banyak tapi sangat membantu untuk pembangunan diri dan masyarakat seperti Farm Visit @ Ladang Mini ISB dan Insective Lab.

“Saya juga berpegang kepada pesanan mama untuk selalu menjaga keberkatan dalam hidup. Contohnya, masa yang berkat walaupun satu jam boleh selesaikan banyak tugasan, begitu juga dalam kehidupan, buat sikit tapi dapat hasil banyak.

“Selain itu, kita juga harus kenal pasti bila masa untuk pecut dan bila pula perlu perlahankan langkah. Mengejar impian yang tinggi itu memang bagus, tapi tak seronok kalau kita akhirnya sampai ke puncak dalam keadaan fizikal dan mental yang sakit,” katanya yang turut memanfaatkan Program Gap Year Universiti Malaya untuk berehat dari kuiz dan peperiksaan.

Program ini membolehkan pelajar cuti dari belajar selama setahun bagi menyertai aktiviti kesukarelawanan, keusahawanan atau program berstruktur kebangsaan untuk pembangunan diri.

Sera juga aktif dalam sukan badminton dan memegang pelbagai peranan dalam kepimpinan serta kemasyarakatan.
Antara organisasi disertainya ialah Sekretariat Keusahawanan UM (UMES) dan Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) sebagai ahli penasihat, serta menjadi Pengasas dan Presiden Ladang Mini ISB Student Committee (LMSC).

Sera berkata, bakat dan kebolehannya telah dipupuk oleh ibu bapa sejak kecil. Mereka menggalakkannya meneroka pelbagai bidang dengan menghantarnya ke kelas piano, wushu, animasi dan sains, biarpun berdepan kesempitan kewangan.

“Pendedahan awal ini membuatkan saya jadi sangat suka belajar benda baharu dan membentuk kebiasaan untuk mendalami sesuatu kemahiran sampai betul-betul faham,” katanya yang kerap mencuba hobi baru setiap tahun.
Dengan asas pembentukan daripada ibu bapanya, biasiswa dari Yayasan Tunku Abdul Rahman, disokong lagi dengan asuhan pendidik yang proaktif dari sekolah menengah sampailah ke UM, Sera berharap untuk menyumbang semula kepada negara melalui perusahaannya dan inovasi bioteknologi pada masa hadapan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |