Anak Kadazan-Siam perlukan bantuan ke UPSI

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Anak pasangan berketurunan Kadazan-Siam, Lovely Suzana Augustine memerlukan bantuan sebanyak RM2,232.35 bagi membolehkannya mendaftar pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bulan depan.

Perkara itu dikongsikan aktivis kebajikan, Raja Shamri menerusi Facebooknya semalam, yang turut memohon orang ramai membantu Lovely merealisasikan impiannya untuk melanjutkan pengajian.

Menurutnya, Lovely merupakan anak bongsu daripada empat beradik, manakala bapanya yang juga bekas tentera berketurunan Kadazan meninggal dunia akibat angin ahmar pada 2017.

Ibunya, Mek Kenui pula berketurunan Siam dan beragama Buddha. Sejak kehilangan suami, Mek Kenui menjadi tulang belakang keluarga dengan bekerja sebagai tukang cuci sekolah berpendapatan kira-kira RM800 sebulan.

“Setiap jumaat, beliau turut menjaga tempat letak kereta di sebuah masjid ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat selain menjadi anggota Rela.

“Tiga abang Lovely pula masing-masing bekerja sebagai jurujual pasar raya, pembantu kedai dan pekerja kampung,” katanya.

Menurut Raja Shamri, dalam keadaan serba kekurangan, Lovely tidak pernah berputus asa mengejar cita-citanya.

“Hasil usaha dan kesungguhannya, Lovely berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM dan kini menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UPSI dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral dengan Kepujian,” katanya.

Lovely dijadualkan mendaftar pada 12 September ini dan memerlukan RM2,232.35 bagi bayaran pendaftaran.

Selain itu, dia turut memerlukan sebuah komputer riba, kelengkapan pengajian serta keperluan diri bagi memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.

“Walaupun kita berlainan bangsa dan agama, kita tetap berkongsi satu perkara, kita semua rakyat Malaysia. Tidak kira besar atau kecil sumbangan, setiap ringgit yang diberikan adalah satu langkah untuk membantu seorang anak muda mengejar masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |