PETALING JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan status empat pemain warisan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia yang berdaftar sebagai pemain tempatan oleh kelab masing-masing adalah sah dan mematuhi Peraturan Pertandingan musim 2025-2026.
Empat pemain warisan yang terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang mewakili kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Gabriel Palmero pula mewakili Kuching City.
MFL dalam satu kenyataan berkata, pendaftaran keempat-empat pemain tersebut dibuat berdasarkan Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 yang menetapkan syarat jelas berkaitan pendaftaran pemain tempatan dan asing.
Menurut badan pengendali liga itu, kesemua pemain berkenaan telah melalui proses pendaftaran mengikut prosedur ditetapkan dengan menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Justeru, MFL mengesahkan tiada sebarang pelanggaran peraturan berlaku dalam pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero oleh kelab masing-masing bagi musim ini,” kata kenyataan tersebut.
MFL turut menjelaskan bahawa semua proses pendaftaran pemain dilaksanakan menerusi Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS atau FIFA Connect seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 3 Peraturan Pertandingan berkaitan Sistem Pendaftaran dan Perpindahan Pegawai serta Pemain.
Berdasarkan peraturan itu, dokumen yang diperlukan bagi pendaftaran pemain tempatan atau asing adalah salinan kad pengenalan berwarna atau pasport berwarna yang perlu dimuat naik oleh kelab untuk tujuan kelulusan.
Bagaimanapun, keempat-empat pemain berkenaan masih perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan daripada aksi perlawanan rasmi seperti yang diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
7



















![[VIDEO] Jangan ambil hati, orang Indonesia ramai tak suka dia](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-13-at-10.46.27-AM.jpeg)





























