MELAKA – Tiga remaja termasuk seorang pelajar perempuan maut selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Tambak Paya hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, Muhammar Adiff Farihin Mohd. Anuar, 15; Muhammad Azmi Abdul Rahimah, 16; serta pembonceng, Nur Khairiah Mat Mazlin, 16, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.02 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota trafik bergegas ke lokasi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan dua motosikal dari arah Bukit Katil menghala ke Tiang Dua manakala sebuah lagi dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketiga-tiga motosikal dipercayai bertembung secara berdepan di tengah jalan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal kedua serta penunggang dan pembonceng motosikal ketiga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi penunggang, berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki serta kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati semua mangsa berusia antara 15 hingga 18 tahun dan tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), rakaman kamera papan pemuka atau saksi bebas di lokasi kejadian,” ujarnya.
“Ketiga-tiga motosikal mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.- KOSMO! ONLINE

15 hours ago
5













![[VIDEO] Beli nasi ayam madu pakej ‘protein’ ulat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/bd536c23-bcd0-4710-ad22-8585d7d7a87c.jpeg)



































