Tiada penerbangan domestik dibatalkan, permintaan ke Eropah meningkat

13 hours ago 6

PUTRAJAYA- Tiada penerbangan domestik dibatalkan setakat ini, malah ada yang ditambah bagi memenuhi permintaan tinggi penumpang sempena sambutan Aidilfitri minggu ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran perjalanan orang ramai yang pulang ke kampung halaman sepanjang musim perayaan.

Menurutnya, konflik geopolitik di Asia Barat ketika ini tidak menjejaskan operasi penerbangan domestik negara.

“Untuk Hari Raya, penerbangan domestik tidak dibatalkan, malah ada yang ditambah bagi menampung permintaan penumpang,” katanya pada sidang media pengumuman garis panduan penggunaan kenderaan de-controlled dan pikap bagi membawa barangan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa penerbangan antarabangsa ke kawasan tertentu terpaksa dibatalkan berikutan faktor keselamatan melibatkan zon konflik.

Menurutnya, pembatalan itu hanya melibatkan laluan ke kawasan berisiko seperti destinasi di Timur Tengah, manakala penerbangan dalam negara kekal beroperasi seperti biasa.

Pada masa sama, katanya, konflik di rantau berkenaan turut memberi kesan kepada pola perjalanan antarabangsa, khususnya bagi penumpang yang ingin ke benua Eropah.

Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan permintaan terhadap penerbangan dari Malaysia ke destinasi seperti London dan Paris meningkat.

Jelasnya, sebelum ini ramai penumpang menggunakan syarikat penerbangan Timur Tengah sebagai laluan transit ke Eropah, namun keadaan konflik menyebabkan sebahagian laluan itu terjejas.

“Apabila kawasan itu menjadi zon konflik, sudah tentu terdapat pengurangan penerbangan dan harga juga boleh meningkat kerana kapasiti penerbangan berkurangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sedang berbincang dengan syarikat penerbangan bagi memastikan operasi penerbangan dapat diteruskan seperti biasa walaupun industri berdepan peningkatan kos operasi.

Menurutnya, cadangan berkaitan langkah mengurangkan kos operasi syarikat penerbangan itu akan dibentangkan kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara dalam masa terdekat bagi memastikan industri penerbangan kekal berdaya tahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |