PETALING JAYA – Tular di media sosial luahan wanita yang mengakui semakin takut untuk berkahwin susulan kes keganasan rumah tangga melibatkan seorang isteri dipukul suami hanya kerana mengidam ayam gepuk.
Seorang pengguna Threads, @Jubahria berkata, insiden itu menimbulkan kebimbangan dalam dirinya untuk mendirikan rumah tangga.
“Takutlah nak kahwin. Macam mana kalau aku ngidam ayam gepuk, nanti kena cekik dengan laki sendiri. Aku dah lah insan yang lemah,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata wanita turut berkongsi kegusaran sama, malah ada yang mendakwa sikap sebenar pasangan hanya terserlah selepas berkahwin.
“Lebih membimbangkan apabila ketika bercinta, pasangan kelihatan lembut dan tenang, namun berubah menjadi panas baran selepas berkahwin.
“Walaupun sudah lama bercinta tanpa menunjukkan sikap sebenar, selepas berkahwin barulah ‘taring’ keluar. Memang menakutkan,” kata @Stxphnismh.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna mempersoalkan peranan suami apabila isteri masih perlu bekerja keras untuk menyara diri sendiri.
“Jika isteri tetap perlu bekerja untuk menyara diri sendiri, apakah sebenarnya peranan suami? Ketika bujang perlu bekerja untuk makan, selepas berkahwin dan mengandung juga masih perlu bekerja untuk perkara sama.
“Sedangkan permintaan hanya sekadar ayam gepuk, bukan barang mewah. Seolah-olah tiada perbezaan antara bujang dan berkahwin kerana tetap perlu bekerja keras,” kata @Seketulcheda.
Selain itu, ada juga yang mengakui lebih selesa kekal bujang berikutan kebimbangan terhadap isu keganasan rumah tangga.
“Ada antara kami yang menjadi takut untuk berkahwin disebabkan isu-isu seperti ini, sehingga lebih memilih untuk kekal bujang,” ujar @Nr.syfqahhhh.
Bagaimanapun, seorang pengguna mengingatkan wanita supaya lebih peka terhadap tanda-tanda awal pasangan yang berpotensi bersikap baran.
“Bagi mereka yang takut untuk berkahwin, risiko untuk berdepan situasi sama tetap ada jika gagal mengesan tanda-tanda awal pasangan yang panas baran atau mempunyai ‘red flag’, walaupun kecil.
“Jangan mengharapkan pasangan akan berubah selepas berkahwin. Lelaki yang baik itu wujud, namun wanita perlu bijak mengenal pasti,” kata @Thetrulysha.
Terdahulu, media melaporkan seorang suri rumah berusia 33 tahun menjadi mangsa keganasan suami dalam kejadian di Cheras pada 11 Mac lalu selepas meminta dibelikan ayam gepuk.
Mangsa dilaporkan dicekik, ditampar, dipukul di kepala serta diancam dengan pisau dapur sebelum mengalami kecederaan di leher kanan dan mendapatkan rawatan di hospital.- KOSMO! ONLINE

9 hours ago
8
















































