‘Tak sanggup, gambar budak sekolah jadi fantasi jelik forum FB’

1 day ago 8

PETALING JAYA – Pempengaruh Mek Yun menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan menghentikan kewujudan grup Facebook (FB) bernama ‘Grup Budak-budak Sekolah Rendah’ yang mengandungi gambar remaja perempuan untuk tujuan tidak senonoh.

Lebih mengejutkan, Mek Yun atau nama lengkapnya Wee Yun Nee, 28, mendapati gambarnya ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul dimuat naik tanpa izin ke dalam laman sosial tersebut.

Menurutnya, dia mengetahui perkara tersebut selepas dimaklumkan pengikut Instagramnya tentang kegiatan tidak bermoral tersebut.

“Saya tidak sanggup mahu skrol akaun Facebook dan berasa jijik dengan tindakan lelaki-lelaki yang meninggalkan mesej yang lucah di ruangan komen.

“Saya menggesa semua pihak untuk membuat laporan ke atas akaun tersebut agar mereka tidak dapat akses lagi,” katanya.

Tangkap layar status dimuat naik Mek Yun berhubung kewujudan grup Facebook yang menjadikan budak bawah umur sebagai fantasi jelik dalam aplikasi Threads.

Selain itu, Mek Yun amat kesal dengan perbuatan yang tidak bertamadun dan sudah melaporkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Saya juga mendapati isi kandungan di dalam forum berkenaan dipenuhi dengan pelbagai gambar pelajar sekolah yang dijadikan sebagai bahan perbualan fantasi jelik mereka terutama terhadap remaja bawah umur,” katanya lagi.

Difahamkan, kumpulan tersebut didapati mempunyai kira-kira 12,000 ahli dan lambakan komen-komen melampau.

Kumpulan tersebut terbuka kepada semua pengguna Facebook dan sesiapa sahaja boleh memuat naik hantaran.

Antara kandungan di dalam kumpulan tersebut adalah gambar-gambar kanak-kanak perempuan dengan kapsyen berbaur lucah.

Akaun grup FB tersebut juga didapati telah mula dicipta sejak 15 Mei 2014 lagi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |