KOTA BHARU – Pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok pada bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, lelaki berusia 26 tahun dan isterinya 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di Kampung Padang Salim, Peringat di sini semalam.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati buruh dan isterinya yang merupakan seorang suri rumah itu negatif dadah.
“Suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah. Kedua-dua suspek itu dipercayai rakan kepada mangsa dan dua suspek lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, pasangan suami isteri itu ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dengan menaiki van polis untuk permohonan reman.
Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid membenarkan suspek lelaki ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat depan manakala isterinya direman lima hari.
Kosmo! sebelum ini melaporkan misteri pembunuhan seorang lelaki OKU lembam di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok pada 14 April lalu bakal terjawab selepas dua individu ditahan di Kubang Kerian dan Kota Bharu, dekat sini sekitar pukul 1 dan 3 pagi, 10 Mei lalu.
Mohamad Ismail berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek yang memiliki rekod dadah dipercayai rakan kepada mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari bermula 10 Mei lalu sebelum Fakhrul Razzi membenarkan lanjutan reman enam hari lagi hingga Rabu ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, selepas lebih 17 jam bertarung nyawa, Muhammad Zakir Fikry akhirnya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala apabila dipercayai dipukul dalam kejadian itu.
Mangsa ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah pada muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan tersebut pada pukul 7.30 pagi sebelum menghembuskan nafas terakhir di Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian kira-kira pukul 12.55 tengah malam keesokan harinya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2










![[VIDEO] Kereta terbakar di Lebuh Raya Elite, trafik sesak arah selatan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/elite.jpeg)


































