PETALING JAYA – Seorang wanita warga tempatan bersama anak lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang (ATIP) Klang pada Isnin lalu atas pertuduhan memperdagangkan pasangan suami isteri warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa sebagai pembantu rumah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kedua-dua tertuduh berusia 73 dan 52 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, tertuduh disyaki memperdagangkan dua warga Indonesia yang merupakan pasangan suami isteri untuk bekerja sebagai pembantu rumah di bawah seliaan mereka.
“Wanita berkenaan dan anaknya disyaki tidak membayar gaji kepada pasangan warganegara Indonesia tersebut sepanjang tempoh 15 tahun mereka bekerja di bawah seliaan tertuduh.
“Tindakan ini dipercayai mempunyai unsur eksploitasi kerja paksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah dan mereka diwakili peguam bela semasa prosiding berlangsung.
Menurut Zakaria, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh, namun mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
“Mahkamah turut menetapkan 13 April 2026 sebagai tarikh pengurusan kes bagi tujuan sebutan lanjut.
“Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun selain boleh dikenakan denda,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam membanteras sebarang bentuk pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negara ini.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670],” jelasnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan boleh menyalurkannya melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
11

















































