Steven Sim tunai hasrat remaja 17 tahun ke TVET

1 day ago 12

GEORGE TOWN – Hasrat seorang remaja berusia 17 tahun untuk menyambung pelajaran yang tertangguh sejak empat tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila mendapat bantuan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Perkara itu dimaklumkan Steven Sim menerusi Facebooknya selepas beliau turun padang melawat remaja itu di Bukit Mertajam dekat sini, semalam.

Beliau yang merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, Nabila sebelum ini terpaksa melupakan persekolahan selepas ibunya jatuh sakit dan keluarga berdepan masalah kewangan.

Menurut Steven, usaha membantu Nabila bermula selepas beliau menerima pesanan WhatsApp daripada anak angkatnya, Gabriel Ooi kira-kira dua minggu lalu.

“Dua minggu lepas saya dapat satu pesanan WhatsApp daripada Gabriel. Dia tulis pendek saja, ‘YB boleh tak nak minta tolong’.

“Mula-mula saya ingat dia nak minta tolong untuk diri dia, rupanya bukan. Dia dengan kawannya, Sandira jumpa seorang budak, Nabila yang tidak pergi sekolah kerana keluarga tidak berkemampuan, manakala ibunya pula sudah lama sakit

“Depa (mereka) dua orang ni usaha cari dan daftar Nabila masuk satu kolej TVET di Kedah. Lepaih (selepas) itu depa tanya saya boleh ka bantu keluarga ini untuk kos masuk belajar dan
saya balas pendek ja pesanan tu ‘Jalan Teruih’,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Katanya, usaha itu dibuat selepas mereka mendapati institusi TVET berhampiran kediaman Nabila tidak menyediakan asrama, selain remaja berkenaan tidak mempunyai kenderaan untuk berulang-alik ke kolej.

“Lepas dapat persetujuan daripada Nabila dan keluarga, mereka terus daftar Nabila di situ. Minggu depan Nabila akan mula balik impian dia yang lama tertangguh,” katanya Nabila tinggal bersama datuk dan nenek selepas ibunya jatuh sakit kira-kira empat tahun lalu.

Steven memberitahu, beliau turut meminta keizinan daripada ibu, Tok Wan dan Tok Nabila untuk menjadikan remaja itu sebagai anak angkatnya serta berjanji menanggung semua perbelanjaannya sehingga tamat pengajian.

“Yang penting, bila Nabila berjaya nanti, dia bukan saja boleh bantu keluarga dia, tapi saya harap dia jadi macam anak angkat saya yang lain, sentiasa prihatin dan ringan tangan nak tolong orang.

“Lagi dua hari kita nak sambut Hari Merdeka ke-69. Saya bangga ada anak angkat macam Gabriel dan Sandira. Walaupun mereka berbeza bangsa dan agama, mereka letak kemanusiaan di depan sekali, sanggup turun padang bantu orang macam Nabila,” katanya.

Steven berkata, kisah tersebut membuktikan semangat Merdeka bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya turut diterjemahkan melalui perpaduan dan kesediaan rakyat membantu antara satu sama lain. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |