KEHADIRAN ketua jurulatih baharu, C.R. Kumar ke dalam pasukan hoki wanita kebangsaan diharapkan mampu menaikkan reputasi skuad Malaysian Tigress untuk menjadi salah satu pasukan terbaik di dunia.
Berdasarkan fasiliti serta kemudahan sukan yang ada di Malaysia, pengendali dari India itu percaya pasukan negara tidak berdepan banyak masalah untuk merapatkan jurang dengan kelompok empat pasukan terbaik Asia.
Kumar berkata, keutamaan beliau ketika ini adalah untuk membantu Malaysia menjadi ‘gergasi’ Asia selain kembali meningkatkan jurang dengan pasukan-pasukan Asia Tenggara, termasuk dalam temasya Sukan SEA.
Beliau percaya, sekiranya Malaysia menjadi kuasa besar dan sukar untuk dicabar dalam saingan di peringkat Asia Tenggara, ia mampu menjadi pembakar semangat serta sumber keyakinan untuk setiap pemain.
“Saya tahu di Malaysia sokongan serta fasiliti yang ada sangat menakjubkan dan ia berbeza dengan India. Keutamaan sekarang adalah untuk merapatkan jurang dengan pasukan-pasukan empat terbaik Asia dan kami akan usahakan.
“Kami juga menjadikan Sukan SEA 2027 sebagai sasaran. Kita tidak mahu lagi pasukan negara sekadar mencatat kemenangan tipis kerana kita perlu buktikan Malaysia sudah meningkat dan lebih kuat,” katanya.
Pada ketika ini, skuad hoki wanita negara menghuni ranking ke-21 dunia dan merupakan pasukan kelima terbaik Asia di belakang China (No. 4 dunia), India (No. 9 dunia), Jepun (No. 15 dunia) dan Korea Selatan (No. 18 dunia).
Sementara itu, Kumar yang pernah mengemudi skuad wanita negara antara 2002 dan 2006 menegaskan, Speedy Tigress perlu diberikan lebih pendedahan selain tidak boleh terus berada dalam zon selesa.
“Kita perlu meletakkan sasaran supaya pemain-pemain melakukan tugas masing-masing. Saya juga perlu memastikan mereka faham apakah itu hoki moden tetapi mereka perlu keluar dari zon selesa,” ujarnya.
Terdahulu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan pelantikan Kumar sebagai ketua jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, menggantikan Nasihin Nubli Ibrahim yang kini menggalas peranan sebagai penolong jurulatih.

18 hours ago
8

















































