PENGURUS Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui Hakim Danish Ramli bakal berdepan cabaran sengit pada musim penuhnya dalam kelas Moto3 bermula di Grand Prix (GP) Thailand minggu ini memandangkan standard persaingan berada di tahap tertinggi.
Zulfahmi berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang tekanan atau sasaran spesifik buat pelumba berusia 18 tahun itu bagi aksi pembuka tirai di Litar Antarabangsa Chang, Buriram bermula esok.
Perlumbaan Moto3 musim ini dibarisi muka-muka baharu yang sangat kompetitif diketuai juara JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup , Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo), Marco Morelli (Aspar Team),Casey O’Gorman (SIC58 Squadra Corse) serta gandingan Honda Team Asia, Veda Pratama dari Indonesia dan Zen Mitani (Jepun).
“Saya percaya dengan pengalaman tiga penampilan Danish sebelum ini dapat beri gambaran awal tentang tekanan persaingan. Masanya sudah tiba untuk Danish menterjemahkan segala pengalamannya ke arah kejayaan yang lebih baik.
“Kami tidak meletakkan sasaran kedudukan spesifik buat Danish kerana tahap persaingan rookie di kelas Moto3 berada pada standard tertinggi.
“Sebagai contoh, Valentin Perrone (Red Bull KTM Tech3) yang pernah bersaing dengan Danish sebelum ini berjaya menaiki podium pada penampilan sulung tahun lalu. Kita harapkan perkara yang sama berlaku kepada Danish,” kata Zulfahmi.
Begitupun, Zulfahmi menegaskan sasaran jangka panjang pasukan untuk melihat anak didiknya itu meraih sekurang-kurangnya satu podium musim ini serta memberi saingan kompetitif di Buriram.
Sementara itu, Hakim Danish yang meraih tempat ketiga Red Bull MotoGP Rookies Cup musim lalu memberitahu, dia kini berada pada tahap optimum selepas menjalani ujian pramusim di Portimao (Portugal) dan Jerez (Sepanyol).
Anak jati Terengganu itu bertekad mencari pelarasan jentera terbaik seawal sesi latihan bebas bagi memastikan kedudukan yang baik pada sesi kelayakan, satu aspek yang dikenal pasti kritikal berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
“Perasaan saya menjelang GP Thailand ini amat teruja. Persediaan fizikal dan mental saya berada dalam keadaan yang sangat baik.
“Walaupun masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki, saya yakin mampu memberikan persembahan terbaik pada perlumbaan pembukaan di Thailand nanti,” kata Hakim.
Litar Buriram bukanlah asing buat Hakim memandangkan beliau mempunyai rekod cemerlang pernah menjuarai perlumbaan di trek tersebut sewaktu kempen Asia Talent Cup (ATC) pada tahun 2022.

19 hours ago
17















![[VIDEO] ‘Pinjam duit mak ayah, jangan buat senyap’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-26-at-09.59.45.jpeg)

































