MELAKA – Seorang kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membuat komunikasi jelik terhadap bekas pengarah negeri jabatan itu, dua tahun lalu.
Hakim Haderiah Siri membuat keputusan itu selepas Orang Kena Saman (OKS), Adi Ariff Ahmad, 51, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh menggunakan aplikasi X melalui akaun ‘Senatorrr Antonio Samad’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu hantaran yang jelik.
Tertuduh telah menulis “Pengarah FAMA Melaka ni nak kerja ke nak berniaga? Ke nak jadi kartel?” dan “Menurut sumber dalaman, rakan niaga or rakan subahatnya yg juga staff dia berhari2 tak dtg kerja katanya dia payung cukup2.. Mintak exco Pertanian Melaka n KP FAMA buat siasatan perangai mamat ni”.
Ciapan itu dilihat kira-kira pukul 5 petang di sebuah rumah bernombor, Jalan Kelubi Damai 1, Taman Kelubi Damai dalam daerah Jasin pada 11 Oktober 2023.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan maksimum tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman denda rendah dikenakan dengan alasan dia merupakan pencari nafkah tunggal keluarga dan menyara isteri serta empat anak yang masih belajar.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri kemudian memohon agar hukuman setimpal dan bersesuaian dengan trend hukuman semasa diberikan.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menetapkan hukuman denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.