Skandal lebuh raya: Dua bulan siapkan laporan siasatan

1 day ago 5

BANGI – Laporan siasatan berkait kes seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri berhubung penyelewengan dana sukuk di Lembah Klang, mungkin mengambil masa sebulan atau dua bulan untuk disiapkan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, hal ini kerana banyak perkara perlu diambil kira termasuk kajian dan analisis dokumen.

“Hari ini rakaman percakapan beliau diteruskan dan setakat ini, kita sudah merakam percakapan kira-kira 53 saksi. Ramai lagi saksi-saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Kes ini akan mengambil masa mungkin dalam tempoh sebulan atau dua untuk disiapkan kerana banyak perkara kita kena kaji.

“Kita juga analisis dokumen-dokumen dan juga penyata kewangan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah Sprm Kali Ke-2 Tahun 2025 di sini hari ini.

Semalam Kosmo! melaporkan, SPRM sudah mengambil keterangan seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana sukuk di Lembah Klang.

Proses tersebut yang dibuat di kediaman invidu berkenaan bermula dari pukul 9 pagi hingga 3 petang semalam.

Terdahulu, SPRM menyita pelbagai aset, termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai dan kediaman mewah yang keseluruhan dianggarkan RM32 juta, dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, SPRM merekod keterangan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, 39, di Jakarta, Indonesia dan bukannya di Bali, seperti dilaporkan.

Keterangan tersebut berhubung siasatan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memetik sumber, Jovian dinamakan sebagai saksi oleh Ismail Sabri ketika keterangannya diambil SPRM sebelum ini, khusus bagi mengesahkan beberapa aset yang diisytiharkan kepada suruhanjaya berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |