PETALING JAYA – Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang diperkenalkan bagi menilai dan mendisiplinkan pemandu melalui pengumpulan mata demerit didakwa tidak berfungsi secara berkesan apabila pelaksanaan hukuman bergantung sepenuhnya kepada bayaran kompaun atau keputusan mahkamah.
Pemilik akaun Raja Mansor Raja Jaafar menerusi hantaran di Facebook mendedahkan kelemahan sistem itu yang didakwa gagal mengenakan tindakan terhadap pemandu yang mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk memandu melebihi had laju.
Dalam contoh kajian kes yang dikongsikan, seorang pemandu bas terlibat dalam kemalangan maut didapati mempunyai 18 saman termasuk 13 kesalahan pandu melebihi had laju sepatutnya mengumpul sekurang-kurangnya 52 mata demerit.
Namun tiada tindakan dikenakan kerana prosedur Kejara hanya membenarkan mata demerit diberikan selepas kompaun dijelaskan atau kes disabitkan oleh mahkamah.
“Ini yang dikatakan sistem sudah ada, tetapi pelaksanaan pelik. Ramai yang tidak sedar walaupun seseorang itu mempunyai banyak saman, selagi tidak membayar atau belum disabitkan, mereka tetap ‘bersih’ daripada mata demerit,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Mansor turut berpandangan kelemahan tersebut memberi ruang kepada pemandu berisiko tinggi untuk terus berada di jalan raya, sekali gus mengancam keselamatan pengguna lain.
Oleh itu beliau menggesa agar sistem berkenaan dikaji semula supaya pemberian mata demerit dilaksanakan secara automatik sebaik saman dikeluarkan tanpa perlu menunggu proses selanjutnya.
“Langkah ini boleh memberi kesan serta-merta dan mendisiplinkan pemandu yang cuai. Apa gunanya sistem sekiranya pelaksanaannya terlalu bergantung kepada proses birokrasi?,” soalnya.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial bersetuju supaya pelaksanaan sistem Kejara diperketatkan demi menjamin keselamatan di jalan raya.
“Sistem Kejara sudah lama ada tetapi tidak berfungsi kerana hal ini. Sistem dah ada, perkemaskan dari segi pelaksanaan saja,” kata Mohd Fadhli Salleh.
“Tak bayar saman dan kompaun, jimat duit dan tak kena mata demerit. Masih boleh teruskan pemanduan yang membahayakan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain,” balas Mohamad Wafiuddin. – KOSMO! ONLINE