Sindiket penyelewengan hampir 51,000 liter diesel tumpas

8 hours ago 3

LUMUT- Sebuah sindiket yang menyeleweng 50,900 liter diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pada pukul 10.30 pagi di Pantai Remis dekat sini semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil maklumat risikan yang dilaksanakan sejak sebulan lalu ke atas sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut.

“Hasil pemeriksaan dan maklumat risikan mendapati, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengubah suai tangki kapal sebenar dengan had 3,000 liter kepada tangki tambahan yang berkapasiti 7,000 liter.

“Bekalan minyak diesel pula disyaki dibeli menggunakan kuota kapal lain dengan harga subsidi dan kemudiannya minyak diesel tersebut akan dijual kepada pihak industri di Pantai Remis,” katanya di sini hari ini.

Kamalludin berkata, ketika serbuan dilakukan, ditemui sebuah kapal sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel daripada tangki kapal kepada sebuah skid tank menggunakan hos dan pam penyedut.

Beliau berkata, skid tank itu adalah tempat simpanan minyak diesel tanpa subsidi dan disyaki dijadikan tempat pengumpulan minyak diesel yang dibeli melalui modus operandi penyelewengan tersebut.

“Turut ditemui dokumen pembelian dan penjualan serta kad kuota kapal lain yang disyaki digunakan untuk penyelewengan ini.

“Siasatan awal mendapati premis ini turut mempunyai premit menyimpan barang kawalan berjadual diesel tidak bersubsidi dengan had kuantiti simpanan 58,000 liter untuk kegunaan kapal nelayan kategori C2,” katanya.

Kamalludin berkata, seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis telah ditahan.

“Dianggarkan sekitar 50,900 liter cecair yang disyaki diesel ditemui di dalam kapal dan skid tank selain sebuah kapal pukat hanyut dan peralatan penyedut minyak telah disita untuk siasatan lanjut.

“Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM355,040. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |