Rafizi sedia berdebat secara langsung dengan Nurul Izzah

10 hours ago 1

TEMERLOH – Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyuarakan komitmen untuk membina semula kekuatan PKR sebagai parti dominan dalam landskap politik arus perdana negara.

Beliau berkata, masa depan PKR bergantung kepada pemimpin yang bukan sahaja popular, tetapi mempunyai wibawa, integriti dan keupayaan menempuh cabaran politik semasa dengan jiwa besar dan idealisme yang jelas.

Menurut Rafizi, budaya politik berasaskan idea serta perdebatan sihat perlu dikembalikan sebagai teras perjuangan PKR dalam mendepani perubahan landskap politik nasional.

“Saya terbuka untuk berdebat secara langsung dengan Nurul Izzah Anwar. Ini bukan soal menang atau kalah tetapi soal memartabatkan politik berisi dan berpaksikan dasar,” katanya ketika ditemui pada program jelajah kempen peringkat Negeri Pahang di sini, malam semalam.

Rafizi berkata, budaya debat antara calon pucuk pimpinan parti telah lama diamalkan dalam PKR, dan beliau sendiri pernah menyertai pentas debat ketika bersaing dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dahulu.

Katanya, cadangan debat kali ini turut disuarakan akar umbi dan disambut baik oleh banyak pihak yang mahu melihat PKR kembali menjadi parti yang segar dengan gagasan dan idea bernas.

Bagaimanapun, Rafizi menjelaskan beliau tidak akan mendekati mana-mana penganjur bagi mengelakkan tanggapan tidak adil, sebaliknya bersedia menyahut jemputan jika debat itu dianjurkan oleh media bebas.

“Saya nyatakan kesediaan secara terbuka, biar media uruskan, kalau saya yang cari, nanti dikata pilih kasih,” katanya.

Tambahnya, debat secara langsung akan membuka ruang kepada rakyat untuk menilai sendiri kemampuan dan kematangan calon dalam hujah serta pengurusan dasar.

“Kalau secara langsung, baru nampak siapa ada isi dan siapa hanya main sentimen,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |