PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial menampilkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan yang tidak lengkap dipercayai melibatkan poster promosi program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) susulan beberapa aduan diterima daripada orang awam.
“keterangan kepada pihak MCMC pada hari ini. Sebuah telefon bimbit disita bagi membantu siasatan.
“Individu-individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” kata MCMC.
MCMC menekankan bahawa Jalur Gemilang adalah simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan.
“Penggunaan ilustrasi yang tidak tepat, khususnya di platform dalam talian, boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam.
“Sehubungan dengan itu, MCMC menyeru semua pengguna media sosial agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan khususnya dalam era teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan penjana kandungan digital,” jelas kenyataan itu.
Tambah MCMC, amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta secara teliti adalah amat penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.
MCMC turut menegaskan komitmennya untuk bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat.
Terdahulu, Pas Terengganu mengeluarkan poster promosi program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu yang dijadual berlangsung pada 29 hingga 31 Mei ini di Padang Astaka, Chukai, Kemaman.
Poster berkenaan memaparkan Jalur Gemilang di sebelah kiri, logo Pas di tengah dan bendera Terengganu di sebelah kanan.
Bagaimanapun, poster tersebut mendapat kecaman netizen apabila paparan Jalur Gemilang digunakan hanya mempunyai 11 bucu bintang kuning serta 12 jalur merah putih berselang-seli. – KOSMO! ONLINE