MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Benjamin Sesko kini menjadi sasaran utama beberapa legenda kelab itu susulan kegagalan untuk melebarkan rekod kemenangan kepada empat perlawanan berturut-turut dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sesko, 22, sekali lagi gagal menunjukkan impak seperti diharapkan selepas dibeli daripada RB Leipzig dengan harga £74 juta (RM407.81 juta) musim ini sekali gus membangkitkan kemarahan bekas-bekas pemain United terutamanya Gary Neville.
Selepas beraksi 586 minit dalam semua 10 perlawanan EPL, penyerang Slovenia itu cuma meledak dua gol dan kegagalannya menyudahkan beberapa peluang dilihat antara punca United hanya mampu seri menentang Forest yang kini berada di kedudukan kedua tercorot liga.
“Dia kelihatan pelik dan langsung tidak sama dengan dua lagi pembelian United di bahagian depan musim ini (Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha). Dia ada banyak peluang tetapi sentuhannya amat memalukan.
“Benar dia masih muda dan mempunyai potensi besar tetapi dibeli dengan harga hampir £80 juta (RM440.88 juta) untuk bermain seperti ini, ia tidak masuk akal. Dia patut segera sesuaikan diri dan mula membantu pasukan,” kata Neville.
Beraksi selama 90 minit penuh, Sesko langsung tidak menyinar berbanding Mbeumo dan Cunha yang membuktikan pembelian United adalah berbaloi walaupun skuad bimbingan Ruben Amorim itu ketika ini berada di tempat kelapan selepas 10 perlawanan.
Jika menang ke atas Forest, United sepatutnya mampu berada di tempat ketiga, sama mata dengan Manchester City di tangga kedua tetapi sebaliknya berlaku apabila mensia-siakan kelebihan satu gol dan terpaksa bangkit untuk meraih satu mata.
Kini, tugas sukar menanti United menyebabkan Sesko perlu mula memperlihatkan kemampuan sebenarnya memandangkan mereka selepas ini akan menentang pasukan di tempat kelima, Tottenham Hotspur dalam aksi seterusnya pada Sabtu ini. – AGENSI

1 day ago
5











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































