Sesak lebih 20km dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah

6 hours ago 5

PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan bergerak perlahan setakat pukul 9.26 malam ini susulan peningkatan jumlah kenderaan menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Menurut Pusat Pengurusan Trafik, Lembaga Lebuhraya (LLM), di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), aliran trafik arah timur turut dilaporkan bergerak perlahan dari Plaza Tol Gombak ke Lentang.

Aliran trafik dilihat sesak sejauh lebih 20 kilometer, dengan kelewatan perjalanan dijangka mencecah 47 minit.

Selain itu, di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, trafik dilaporkan sesak dari Bukit Lanjan ke Rawang, Tapah ke Gopeng serta Permatang Pauh ke Sungai Dua.

Bagi arah selatan di lebuh raya sama, trafik dilaporkan bergerak perlahan dari Bukit Beruntung ke Sungai Buaya.

Selain itu, di Lebuh Raya Utara-Selatan (E2), aliran trafik arah utara perlahan dari Kulai ke Sedenak, manakala arah selatan melibatkan laluan Bandar Baru Nilai ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Bandar Ainsdale ke Hentian Senawang serta Pedas Linggi ke Simpang Ampat.

Di Tambak Johor pula, trafik arah selatan dilaporkan perlahan dari Johor Bahru ke Woodlands.

Keadaan sama turut berlaku di Lebuh Raya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) apabila trafik arah utara perlahan dari Kilometer 1.6 ke Kompleks CIQ Sultan Abu Bakar, manakala arah selatan melibatkan laluan dari Plaza Tol Tanjung Kupang ke kompleks sama.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dengan teliti selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

Pengguna lebuh raya juga diingatkan supaya menyemak baki kad Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID, memastikan tangki minyak mencukupi serta mendapatkan rehat secukupnya bagi menjamin keselamatan sepanjang perjalanan.

Untuk maklumat trafik terkini, pengguna boleh mendapatkan info melalui hotline 24 jam LLM di talian 1-800-88-7752 bermula 18 Mac hingga 30 Mac 2026, selain saluran rasmi LLM di WhatsApp, TikTok, X dan Facebook.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |