Senjata baharu taruhan Johnathan

20 hours ago 8

MISI memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) kini memasuki fasa lebih kritikal apabila penembak utama negara, Johnathan Wong membuat keputusan berani menukar senjata sebagai sebahagian strategi meningkatkan peluang meraih kuota.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari berkata, berdasarkan prestasi dan ranking semasa, Johnathan berada pada kedudukan paling hampir untuk merealisasikan impian ke Olimpik.

“Memang sasaran kita terbuka kepada semua atlet, tetapi yang paling hampir untuk layak berdasarkan prestasi ialah Johnathan. Dari segi ranking dan pencapaian, dia yang terbaik setakat ini,” katanya.

Menurut Jasni, antara langkah penting diambil adalah pertukaran kepada senjata baharu yang lebih ringan dan berteknologi tinggi bagi membantu meningkatkan konsistensi tembakan.

“Dia baru tukar senjata. Beratnya kurang daripada satu kilogram dan lebih mudah dikawal. Walaupun asas menembak itu sama, tetap perlukan masa untuk menyesuaikan diri,” jelasnya.

Tambah beliau, senjata baharu itu mempunyai tahap ketepatan lebih tinggi dan membantu dari aspek ‘recall’, sekali gus memberi kelebihan kecil yang boleh menjadi penentu di pentas kelayakan.

Dalam masa sama, Jasni menegaskan laluan paling realistik untuk memburu kuota adalah menerusi Kejohanan Asia yang sebelum ini sering menjadi platform utama mendapatkan tiket Olimpik.

“Selalunya kita banyak dapat kuota melalui Kejohanan Asia. Di Piala Dunia, persaingan terlalu sengit kerana kuota selalunya sudah dimenangi negara besar seperti China, Jepun dan Korea,” ujarnya.

Beliau berkata, keadaan itu membuka peluang lebih luas di peringkat Asia kerana ada negara yang sudah mengesahkan slot lebih awal, sekali gus memberi ruang kepada penembak lain merebut baki kuota.

Read Entire Article
Pertanian | | | |