PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia memaklumkan dia dan keluarganya membuat keputusan untuk pulang ke tanah air berikutan situasi keselamatan yang semakin membimbangkan ekoran konflik di Asia Barat.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, pengguna akaun sarahkhadeja777 berkata, hampir semua ruang udara ditutup dan bunyi letupan kedengaran di ruang udara berhampiran.
“Kami semua buat keputusan nak balik Malaysia dulu. Hampir semua ruang udara dah ditutup sebab perang di Iran. Langit bunyi macam-macam dah… bunyi bom. Takut,” tulisnya.
Menurut wanita itu, keadaan di lapangan terbang dilaporkan huru-hara apabila orang ramai cuba mendapatkan penerbangan keluar.
“Adakah terjadi yang ke-3? Berdentam-dentum di udara,” katanya.
Dalam perkongsian sama, wanita itu mendakwa mereka pernah berdepan situasi sukar apabila visa multiple tidak sempat digunakan sebelum tamat tempoh sehingga memaksanya memandu ke Bahrain untuk mendapatkan cap masuk semula.
“Kami dah pernah buat kerja gila dua hari nak raya. Visa multiple dah habis tak sempat ‘fly out’, ‘drive’ sampai Bahrain cop (cap) masuk balik. Nasib anak rantau macam inilah,” ujarnya.
Tambahnya, laluan darat terpaksa digunakan merentasi beberapa negara kerana hanya Kaherah, Mesir masih beroperasi penerbangan.
“Jalan darat ‘cross border’ empat negara sebab Cairo boleh ‘operate flight’ lagi. Kena ‘cross’ Haql – Jordan – Cairo. Jalan yang tiada perumahan dan penempatan manusia,” kongsinya.
Terdahulu, media melaporkan konflik perang tercetus selepas Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran menyebabkan suasana tegang di beberapa negara Asia Barat apabila hampir semua ruang udara dilaporkan ditutup. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
4













![[VIDEO] Beli nasi ayam madu pakej ‘protein’ ulat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/bd536c23-bcd0-4710-ad22-8585d7d7a87c.jpeg)



































