‘Saya sukar lelapkan mata, dengar bunyi letupan sampai siang’

12 hours ago 6

GEORGE TOWN – Seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Doha, Qatar memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka di sana susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara Timur Tengah, sejak semalam.

Dia yang enggan dikenali berkata, sepatutnya dia bertolak pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada petang ini namun telah dibatalkan berikutan konflik yang tercetus.

“Kami cuma mohon rakyat Malaysia mendoakan keselamatan kami di sini, ketika ini. Meskipun keadaan terkawal dan masih boleh pergi ke masjid berdekatan hotel tetapi perasaan cemas dan takut sentiasa menghantui diri.

“Sehingga saat ini, saya masih sukar lelapkan mata dan tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana dari pukul 12 malam tadi kedengaran bunyi letupan hingga ke siang hari.

“Boleh lihat dengan jelas situasi misil dan peluru pintas di kawasan pangkalan ketenteraan Amerika Syarikat di Qatar pada jarak antara 30 hingga 40 kilometer dari hotel yang kami inap, berdekatan sebuah hospital di Doha,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini, tadi.

Dalam pada itu, dia yang bekerja di negara terbabit berharap agar dapat pulang ke pangkuan keluarganya dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama, nanti.

“Ini kali pertama saya berdepan situasi sebegini setelah bekerja kira-kira setahun di Doha. Bagi kita yang pertama kali ini, memang satu pengalaman ngeri tapi bagi rakyat negara berkenaan mereka seperti sudah biasa dengan keadaan berlaku,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan letupan baharu kedengaran di beberapa bandar utama negara Teluk termasuk Dubai, Doha dan Manama pada pagi hari ini selepas Iran melancarkan serangan tindak balas terhadap operasi kententeraan Amerika Syarikat (AS) bersama Israel di rantau itu.

Wartawan AFP dilaporkan berkata, bunyi letupan kedengaran di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Doha di Qatar serta Manama di Bahrain, yang mana siren kecemasan diaktifkan.

Letupan terbaharu itu muncul selepas serangan maut Iran yang menyasarkan ibu negara UAE, Abu Dhabi termasuk pangkalan tentera dan kemudahan infrastruktur di seluruh Teluk kecuali Oman yang menjadi pengantara. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |