Sadat buru tiket Sukan Asia Aichi-Nagoya

8 hours ago 7

ATLET baling tukul besi negara, Sadat Marzuqi Ajisan bertekad untuk meleburkan rekod terbaik peribadinya (PB) sekali gus mengintai peluang melayakkan diri ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Atlet Program Podium itu kini sedang giat menjalani fasa latihan baharu di bawah kendalian jurulatih, Tan Song Hwa dengan sasaran untuk melakukan balingan melebihi jarak 65 meter (m).

Sadat menyifatkan tahun 2026 sebagai tahun ‘reset’ buat dirinya apabila beralih kepada program latihan yang lebih sistematik menerusi perancangan lebih tersusun oleh Olahraga Malaysia (MA) tahun ini.

“Fokus saya tahun ini adalah untuk memperbaiki jarak balingan sehingga 65m ke atas. Saya mahu melepasi catatan 60.63m PB sedia ada. Sebelum ini saya pernah memecahkan rekod itu, namun ia belum diiktiraf oleh Olahraga Dunia (WA).

“Jadi, sasaran utama saya adalah balingan 65m. Jika saya berjaya mencapai tahap tersebut, peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Asia di Jepun nanti akan menjadi lebih cerah.

“Sekarang saya dalam proses menyesuaikan diri dengan teknik dan falsafah baharu daripada jurulatih. Walaupun mencabar, saya yakin mampu menerokai kemampuan diri dengan lebih jauh lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Atlet dan Jurulatih di ibu negara, kelmarin.

Bagi memantapkan persediaan, atlet berusia 25 tahun itu merancang untuk menjalani latihan intensif di Algeria selama tiga hingga empat bulan bagi mendapatkan pendedahan serta akses kepada fasiliti yang lebih lengkap.

Jelasnya, pemilihan Algeria dibuat berikutan hubungan baik jurulatihnya dengan pakar di sana, selain mahu mengulangi momentum positif selepas pernah menimba ilmu di China sebelum ini.

“Saya perlukan pendedahan luar negara. Di Algeria, fasilitinya lebih baik dan saya berharap tempoh latihan di sana dapat membawa prestasi saya ke tahap kemuncak semula.

“Dalam sesi latihan sekarang, saya sudah mampu konsisten melakukan balingan antara 61m hingga 62m. Sasaran saya adalah membawa momentum tersebut ke dalam gelanggang pertandingan sebenar,” tambahnya yang akan menjadikan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada Jun depan sebagai medan ujian pertama.

Sebagai rekod, Sadat membuktikan kehebatannya apabila meraih pingat perak di Sukan SEA Thailand menerusi balingan 60.15m, sekali gus menewaskan rakan senegara yang juga atlet berpengalaman, Jackie Wong yang sekadar meraih gangsa (59.81m).

Read Entire Article
Pertanian | | | |