‘Rokok dadah’ RM80 sebatang

5 hours ago 7

SERDANG – Sepasang kekasih menjadikan sebuah unit kondominium sebagai makmal mini untuk memproses dadah sebelum membungkusnya dalam bentuk rokok yang dijual RM80 sebatang kepada pelanggan tetap di sekitar Lembah Klang.

Tindakan licik mereka tumpas apabila diserbu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dalam Ops Tapis pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, tangkapan melibatkan lelaki tempatan berusia 52 tahun dan wanita warga Vietnam berusia 33 tahun di sebuah kondominium yang disewa pada kadar antara RM1,100 hingga RM1,700 sebulan.

“Pasangan ini dipercayai menjalankan operasi menghasilkan ‘rokok dadah’ secara sistematik dan menjualnya kepada pelanggan tetap termasuk di pusat hiburan sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di IPD Serdang di sini hari ini.

Menurut Muhamad Farid, rampasan dadah dalam operasi ini dianggarkan bernilai RM2 juta, dengan anggaran mampu dibekalkan kepada 10,430 penagih dalam tempoh satu hari.

“Antara barang yang dirampas dalam serbuan tersebut termasuk 10.07 kilogram daun kering yang disyaki dicampur dengan methamphetamine, 240 batang rokok yang mengandungi tembakau bercampur syabu seberat 180 gram, serta 610 gram syabu yang disimpan dalam dua peket plastik lutsinar.

“Turut dirampas dua botol kaca mengandungi cecair methamphetamine sebanyak 200 mililiter dan 100 mililiter, sebuah mesin elektrik untuk membuat rokok dan lima kotak berisi 120 batang rokok kosong yang digunakan untuk tujuan pembungkusan,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mencampur cecair dadah daripada botol berwarna putih dan perang ke dalam tembakau sebelum menggulungnya menjadi rokok menggunakan mesin khas.

Hasil saringan air kencing suspek lelaki positif methamphetamine dan AMP serta mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Kedua-duanya direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |