Ringankan beban asnaf, MAIWP salur RM75,000 untuk persiapan Aidilfitri

13 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyalurkan sebanyak RM75,000 kepada 250 orang asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan untuk membeli pakaian dan keperluan hari raya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, inisiatif sebegini amat diperlukan dalam usaha untuk memperkukuh agenda pembangunan ummah terutamanya kepada golongan asnaf, para penerima bantuan MAIWP di Wilayah Persekutuan.

“Asnaf bagi kawasan Putrajaya melibatkan 50 orang penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM15,000.

“Manakala, Asnaf bagi kawasan Kuala Lumpur dan Labuan masing-masing melibatkan 100 orang penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM30,000,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, yang komited memastikan setiap bantuan zakat sampai kepada kumpulan sasar secara teliti dan berkesan.

Zulkifli berkata, manfaat sumbangan berjumlah RM300 setiap seorang ini diberikan bagi tujuan membeli pakaian dan kelengkapan hari raya mengikut pilihan mereka sendiri.

“Dari sudut pemilihan kriteria bagi bantuan ini adalah mengikut kategori asnaf dan ia dilakukan dengan penuh teliti oleh pihak MAIWP. Alhamdulillah kita lihat bahawa mereka-mereka yang bersama saya tadi ada keluarga yang enam orang anak, ada yang lapan orang anak.

“Jadi memang saya rasa bahawa pemilihan itu adalah sangat teliti dan tepat pada keluarga yang bersesuaian,” katanya,

Zulkifli turut menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada para pembayar zakat yang menjadi tunjang utama kepada kelangsungan program kebajikan sebegini.

“Semoga mereka boleh menyumbang lagi pada tahun ini dan tahun hadapan supaya kita dapat mengembalikan wang itu kepada semua lapan asnaf yang telah pun disebut di dalam al-Quran,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, bagi seorang ibu tunggal, Fatin, 33, meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana bantuan ini membolehkannya membeli kelengkapan lebih daripada sekadar keperluan asas untuk enam orang anaknya.

“Selalunya kita hanya mampu beli yang asas sahaja, tetapi hari ini anak-anak sangat gembira kerana dapat beli pelbagai barangan lain seperti baju dan seluar jalan untuk mereka melaram di pagi raya,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |