Rider rebah rupanya berbakti pada ibu, derma setiap minggu

1 day ago 7

PETALING JAYA – “Mak, abang kerja sikit lagi. Malam ni abang balik bawa lauk kegemaran mak.”

Itu pesanan terakhir seorang penghantar makanan kepada ibunya sebelum rebah lalu meninggal dunia di tepi jalan ketika dalam perjalanan menghantar pesanan.

Menurut perkongsian di Threads oleh @realhairie, lelaki berkenaan dalam perjalanan menghantar pesanan terakhir namun, tidak kesampaian untuk menghantar pesanan ke rumah pelanggan tersebut.

“Seorang abang penghantar makanan rebah tepi jalan masa hantar pesanan terakhir. Dalam beg dia masih ada makanan pelanggan. Orang awam cuba bantu, tapi Allah lebih sayangkan dia,” tulisnya di platform Threads.

Difahamkan, lelaki tersebut bekerja tanpa henti dan hanya tidur tiga jam sehari demi membayar rawatan ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang.

Menurutnya, slip derma tabung masjid bernilai RM10 turut dijumpai di dalam beg yang merupakan sumbangan kecil yang dibuat setiap minggu tanpa gagal.

“Anak mak tak sempat balik makan sama. Tapi mak bangga, sebab dia mati dalam usaha mencari rezeki yang halal,” kata ibunya yang turut dikongsikan pengguna tersebut.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang turut sebak dengan kisah penghantar makanan tersebut.

“Allahuakbar. Terlalu penat? Bukan sekali saja terbaca kisah penghantar makanan yang kecundang ketika jalankan tugas mencari rezeki. Semoga Allah muliakan darjatnya di sana,” komen Dayangku.

“Innalillah, semoga ditempatkan bersama orang-orang beriman dan salam takziah buat mak dan keluarga. Semoga mak dia kuat dan tabah dengan dugaan ini,” kata Hapsah Mohammed.

“Kesiannya. Sedih sebab dia tak sempat nak bawa balik makanan ke ibunya. Semoga ditempatkan dengan orang beriman,” komen Iza. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |