BANGKOK – Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun menembak mati jirannya di wilayah Pathum Thani, tengah Thailand kerana mengesyaki mangsa menjalin hubungan sulit dengan ibunya, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Polis dari Balai Polis Thanyaburi dimaklumkan mengenai kejadian tembakan itu kira-kira pukul 1 tengah hari semalam oleh pemimpin masyarakat tempatan, Thanee Suekui.
Kejadian itu berlaku di daerah Thanyaburi, wilayah Pathum Thani.
Mangsa dikenali sebagai Paisarn, 41, bekerja sebagai pengurus daerah untuk sebuah restoran francais popular.
Paisarn sedang duduk di atas motosikalnya ketika dia ditembak, menyebabkan motosikal itu terbalik di tepi jalan. Dia mengalami luka tembakan di belakang leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Thanee memberitahu polis bahawa Paisarn pernah bertemunya untuk mendapatkan nasihat. Mangsa juga meluahkan rasa takut akan keselamatannya.
Paisarn dilaporkan berkata bahawa jirannya, Pong menuduh dia menjalin hubungan sulit dengan isteri lelaki berkenaan.
Paisarn menafikan dakwaan itu dan menegaskan dia tidak pernah terlibat dalam hubungan romantis atau seksual dengan isteri Pong.
Polis menyemak rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan itu dan mendapati penembak bukan Pong tetapi anak lelakinya yang berusia 17 tahun, hanya dikenali sebagai Mhoo.
Polis kemudian mengesan Mhoo di sebuah rumah di Soi Rung Rueng, subdaerah Rangsit, dan menangkapnya semasa dia bersiap untuk melarikan diri. Sepucuk pistol dirampas daripada suspek sebagai bukti.
Semasa soal siasat, Mhoo mengaku menembak mangsa. Suspek memberitahu polis bahawa dia berulang kali mendengar daripada bapanya bahawa Paisarn terlibat dalam hubungan sulit dengan ibunya.
Dia berkata, tuduhan itu menyebabkan pertengkaran yang kerap antara ibu bapanya dengan dirinya mengalami tekanan emosi yang ketara.
Mhoo mendakwa dia menjadi marah selepas mendapat tahu bahawa Paisarn menafikan dakwaan itu.
Bapa suspek juga memberikan kenyataan kepada polis, mendakwa isterinya terlibat dalam hubungan seksual dengan lelaki lain dan pertemuan mereka telah dirakam.
Walaupun video itu tidak menunjukkan wajah kekasih itu dengan jelas, Pong berkata, dia percaya suara dalam rakaman adalah suara Paisarn. Dia seterusnya mendakwa bahawa lelaki dalam video itu mempunyai tahi lalat di lengan, yang mendorongnya bersemuka dengan Paisarn untuk memeriksa lengan lelaki itu.
Paisarn dilaporkan enggan memberikan kerjasama sekali gus menguatkan lagi syak wasangka Pong.
Suspek muda itu kekal dalam tahanan polis di bawah prosedur juvana. Polis berkata, pertuduhan undang-undang dan prosiding yang sesuai di bawah sistem keadilan juvana Thailand masih dipertimbangkan. – AGENSI

3 hours ago
2



![[VIDEO] ‘Dah salah, lagi nak tunjuk gengster tahi kucing’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/samseng.jpeg)













































