[VIDEO] ‘Dah salah, lagi nak tunjuk gengster tahi kucing’

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Seorang pemandu Proton Saga bukan sahaja didakwa memandu melawan arus, malah memarahi pemandu lain yang berada di jalan betul serta enggan mengundurkan kereta bagi memberi laluan kepada lelaki tersebut.

Kejadian itu tular di media sosial selepas pemandu yang didakwa dimarahi itu memuat naik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) pada Facebook DashCam Owners Malaysia, semalam.

Pemandu tersebut menggunakan identiti tidak dikenali (anonymous participan) berkongsi rakaman video berserta beberapa gambar pada Facebook itu yang mana kejadian dipercayai berlaku di Jalan PJU 8/2, Damansara Perdana pukul 1.03 tengah hari, kelmarin.

Pada video berkenaan, jelas kelihatan pemilik ‘dashcam’ berada di laluan betul berdasarkan anak panah di atas jalan dan semasa dia sedang memandu di satu simpang, sebuah kereta dari arah bertentangan masuk ke laluannya.

Pemandu Proton Saga itu keluar dari kereta dan berdasarkan gerak tangan dan muka lelaki tersebut, ia dipercayai memarahi pemilik dashcam selepas dipercayai enggan mengundurkan kenderaan bagi memberi laluan kepadanya.

“Hari ini ketika sedang memandu di Jalan PJU 8/2 (Damansara Perdana) pukul 1.03 tengah hari, laluan saya dihalang oleh sebuah kereta Proton Saga FLX 1.3 model 2011 yang menghalang laluan saya untuk membelok ke kanan.

“Pemilik kereta tersebut mendesak supaya saya mengundurkan kenderaan supaya dia boleh membelok secara haram masuk ke Jalan PJU 8/6. Pemandu Proton Saga berkenaan kemudiannya turun dari kereta dan mengugut untuk memukul saya serta rakan sekerja di dalam kereta sekiranya tidak mengundurkan kenderaan.

“Dia juga mengetuk cermin tingkap kereta saya dengan kuat sambil cuba membuka pintu kereta. Semua kejadian berlaku walaupun peniaga gerai (kakak penjual) telah beberapa kali menegurnya bahawa tindakannya adalah melawan arus lalu lintas,” dakwa pemilik dahscam berkenaan.

Pada rakaman video tersebut, bukan sahaja pemandu Proton Saga berkenaan yang didakwa memandu melawan arus, malah turut terdapat beberapa kenderaan lain dipercayai melakukan kesalahan sama.

Hantaran tersebut mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna Facebook yang turut mengecam tindakan pemandu Proton Saga didakwa melawan arus itu.

“Dah lah salah, lagi nak tunjuk gengster tahi kucing,” komen pengguna Facebook Thivan De King.

“Lapor polis, kita tak mahu orang macam ni atas jalan raya,” komen Carlos Fairuz.

“Mana punya tempat ni, dah macam tak ada peraturan. Bukan seorang dua, ramai macam tu,” Aris Halil. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |