GEORGE TOWN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengambil masa hampir 20 jam untuk melakukan ‘overhaul’ di lokasi kebakaran hutan Bukit Bendera, Jalan Kebun Bunga di sini bagi mengelak kejadian berulang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, John Sagun Francis berkata, operasi memadamkan kebakaran di kawasan seluas 20 ekar (lapan hektar) itu sudahpun tamat sepenuhnya pada pukul 3.28 petang tadi.
Menurutnya, operasi tersebut melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan bantuan BBP Jalan Perak dan Paya Terubong.
“Kebakaran berlaku melibatkan kawasan hutan berbukit yang berkeluasan kira-kira 20 ekar (lapan hektar). Kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api dilakukan dengan pembahagian kepada tiga sektor.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 9.30 malam dan dipadamkan pada pukul 10.50 malam semalam. Operasi pemadaman turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
“Kerja-kerja pemadaman dan pengawalan dilakukan dengan menggunakan ‘Fire beater’ ,‘Jet Shooter’ serta pemadaman secara ‘Direct Attack’ dengan kaedah ‘Relay Pumping’ bersumber air dari kolam takungan (Dam) berikutan sumber air agak jauh dari lokasi kebakaran,” katanya di sini, petang tadi.
Sementara itu, Pengarah JBPM negeri, Mohamad Shoki Hamzah pula berkata, pemantauan berterusan akan dilaksanakan di keseluruhan kawasan hutan Bukit Bendera bagi memastikan kejadian kebakaran hutan tidak berulang sekali gus melindungi kawasan hutan simpan serta lokasi pelancongan utama negeri ini.
Katanya, insiden kebakaran itu melibatkan sebahagian daripada keseluruhan 91 hektar kawasan Hutan Simpan Island, Bukit Bendera dan berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan hutan berhampiran hasil tindakan pantas pasukan penyelamat pelbagai agensi.
“Kejadian tersebut merupakan kebakaran pertama berskala besar melibatkan kawasan hutan di Bukit Bendera setakat ini, walaupun kebakaran kecil sebelum ini pernah berlaku di beberapa laluan dan kawasan sekitar,” ujarnya di sini. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1


![[VIDEO] ‘Dah salah, lagi nak tunjuk gengster tahi kucing’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/samseng.jpeg)














































