KUALA LUMPUR – Skuad terjun negara bersedia memasuki fasa baharu apabila bakal menerima suntikan kepakaran Russia menerusi pelantikan dua jurulatih negara itu yang dijangka menyertai barisan kejurulatihan kebangsaan dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi membentuk struktur kejurulatihan yang lebih mampan serta kompetitif untuk melonjakkan prestasi atlet negara di pentas antarabangsa.
“Dalam masa sama, kita juga sedang mengenal pasti jurulatih tempatan yang mempunyai kelayakan dan keupayaan untuk membimbing atlet kebangsaan bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2025, hari ini.
Menurut Jefri, proses pelantikan jurulatih dari Russia itu akan melalui penilaian terperinci dan dibincangkan bersama pihak persatuan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Mengulas persiapan menjelang Sukan Asia, beliau memberi jaminan perubahan dalam barisan kejurulatihan tidak akan menjejaskan fokus atlet memandangkan kem latihan bagi kelompok teras telah dimulakan lebih awal sejak tahun lalu.
“Jurulatih untuk Sukan Asia adalah selamat, memandangkan kita sudah buat proses penilaian tahun lepas bersama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dalam kompetensi dan penilaian prestasi mereka,” jelasnya.
Jefri turut menegaskan setiap jurulatih terikat dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas, justeru kegagalan memenuhi sasaran ditetapkan akan membawa implikasi terhadap kedudukan mereka dalam pasukan kebangsaan.
Tambah beliau, keutamaan MSN kini adalah memastikan setiap pelantikan jurulatih selepas ini selari dengan potensi atlet yang dilihat mampu menyumbang pingat emas, khususnya menjelang Sukan SEA 2027.
Terdahulu, Akuatik Malaysia (MAS) memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua adik-beradik jurulatih terjun dari China, Li Jun Bai dan Li Jun Song susulan kegagalan memenuhi KPI yang ditetapkan bagi musim 2025. KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2


![[VIDEO] ‘Dah salah, lagi nak tunjuk gengster tahi kucing’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/samseng.jpeg)














































