Sindiket ‘Badul’ kaut RM1 juta jual kuota pekerja asing tumpas

3 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Sindiket ‘Badul’ yang aktif menjalankan kegiatan membekalkan pekerja warga asing melalui penipuan kuota akhirnya tumpas apabila sebuah premis kedai di Jalan Desa Pandan, di sini, diserbu Jabatan Imigresen (JIM), semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai sembilan individu berusia lingkungan 26 hingga 61 tahun ditahan, terdiri daripada lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati syarikat terbabit menyalahgunakan kelulusan kuota pekerja asing yang diberikan khusus untuk kegunaan syarikat sendiri dengan menjual, memindahkan dan mengagihkan tenaga kerja asing kepada pihak ketiga tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa.

“Setiap urusan dikenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM8,000 bagi setiap permohonan, sekali gus memperlihatkan unsur komersialisasi dan pemerdagangan tenaga kerja asing secara terancang.

“Berdasarkan maklumat diperolehi, syarikat terbabit turut dipercayai mengaut keuntungan hampir RM1 juta setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, modus operandi sindiket ini turut merangkumi penyediaan surat cuti palsu kepada pekerja asing sebagai helah sekiranya mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan.

Selain itu katanya, sindiket ini menguruskan pembebasan pekerja asing yang ditangkap oleh pihak berkuasa dengan mengenakan bayaran tertentu, seolah-olah undang-undang boleh dirunding dan dibeli.

“Sindiket ini turut bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pembaharuan pas kerja dan visa dengan bayaran tertentu, tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket ini aktif membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran pihak berkuasa di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Ini mencerminkan satu bentuk penyalahgunaan sistem imigresen negara secara terancang yang bukan sahaja menindas pekerja asing tetapi turut mengancam keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara,” katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata hasil penggeledahan menemui sebanyak 48 pasport Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan India.

Ujarnya, turut disita adalah sebanyak 497 keping i-Kad pekerja asing, 38 keping kad CIDB, wang tunai berjumlah kira-kira RM13,000 serta pelbagai dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses permohonan pekerja asing secara tidak sah.

“Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“JIM menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warga asing tanpa dokumen sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |