Gema Raya Putrajaya 2026 padat dengan aktiviti hiburan, seni budaya, kerohanian, keusahawanan

3 hours ago 1

PUTRAJAYA – Gema Raya Putrajaya 2026 yang merupakan festival Ramadan–Raya anjuran sepenuhnya Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama PULSE Group dan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bakal menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan yang baik antara artis yang menyertai festival itu dengan pengunjung serta vendor.

Festival ini menggabungkan keusahawanan, seni budaya, program kerohanian dan inisiatif kebajikan komuniti, dengan penyertaan hampir 300 vendor dan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.

Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata,  kemeriahan festival Aidilfitri yang pertama di puncak tertinggi bukit di sini iaitu Gema Raya Putrajaya 2026 @ PICC semakin terasa apabila bakal diserikan dengan kemunculan istimewa beberapa artis popular tanah air, sekali gus menjadikan festival ini antara acara Ramadan–Raya paling dinanti tahun ini.

Festival yang dijadualkan bermula 15 Februari hingga malam raya ini dirancakkan dengan kemunculan Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali yang akan membuat persembahan pada hujung minggu terpilih.

Turut memeriahkan acara adalah Bella Astillah serta artis meningkat naik iaitu juara sulung program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia, Didie Shazry, dan kumpulan Alpha yang ditubuhkan menerusi program Big Stage Alpha.

“Sebagai penganjur, kami mahu memberikan yang terbaik kepada semua pihak terutama kepada usahawan yang berniaga, dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),” katanya.

Rayme turut menjelaskan bahawa keunikan Gema Raya Putrajaya 2026 bukan sahaja terletak pada elemen hiburan, malah diperkuatkan dengan konsep Iftar dan moreh di puncak bukit yang diperkenalkan bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Pengunjung bukan sekadar datang membeli-belah atau menonton persembahan artis, tetapi turut berpeluang menikmati suasana iftar dan moreh secara santai di atas puncak bukit, sambil menikmati panorama indah Putrajaya.

“Konsep ini memberi ruang kepada pengunjung untuk berehat, ‘healing’ dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga serta rakan-rakan,” tambahnya.

Beliau berkata, pemilihan lokasi PICC sebagai lokasi utama penganjuran adalah kerana bangunan ikonik tersebut memiliki fasiliti bertaraf antarabangsa, ruang luas berhawa dingin serta kawasan luar yang sesuai untuk konsep santai dan aktiviti berbuka puasa. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |