Kesum dah balik modal, berjaya bayar gaji pekerja – Rafizi

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa perniagaan restoran perusahaan sosial, Kesum yang beliau usahakan sejak beberapa bulan lalu telah pulang modal.

Beliau yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, premis makanan tersebut juga mampu membayar gaji pekerja antara RM2,000 ke RM4,000 sebulan.

“Alhamdulillah, minggu depan genap tiga bulan Kesum beroperasi. Semuanya berjalan baik. Jualan harian macam biasa ada hari baik, ada hari tersangat baik, ada hari sendu terutamanya bila masuk minggu ketiga.

“Dah nampak trend bila hujung bulan, gaji dah nak habis jadi orang kurang berbelanja. Kami sedang meneliti perincian kos satu-satu untuk membandingkan unit kos asal semasa perancangan dengan turun naik harga bahan mentah.

“Insya-Allah bila analisa terperinci siap, kami boleh tentukan margin pulangan kepada rakan kongsi ekuiti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi membalas sindiran sinis beberapa pengguna media sosial yang bertanyakan tentang keadaan perniagaan Kesum ketika ini.

Rafizi berkata, Kesum akan beroperasi lebih lama walau terhadap pihak berkepentingan politik yang berharap perniagaan tersebut cepat ditutup.

“Ada juga yang macam ini. Benda baik orang nak tolong rakyat dengan makanan yang kenyang, sedap dan murah, juga untung yang sedikit itu diutamakan kepada pekerja-pekerja, yang itu pun dia sakit hati sibuk mintak tutup awal,” katanya.

Beliau menambah, Kesum malah sedang mencari tiga lagi kru dapur tetap dan beberapa lagi pekerja separuh masa untuk menampung keperluan kerja di premis perniagaan tersebut.

“Kepada yang minta buka Kesum di sana sini, benda macam ini tak boleh nak ‘rush’ sebab kita nak pastikan model operasi, model kos dan semuanya betul-betul ok dulu.

“Beri kami masa beberapa bulan lagi untuk ‘fine tune’. Lagi pun kami nak bersedia untuk Ramadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |