PETALING JAYA – Sudah memasuki hari ketiga Syawal, personaliti media sosial, Cik B mengakui suasana Aidilfitri kini tidak lagi semeriah dahulu apabila kebanyakan masa dihabiskan di rumah dalam keadaan sunyi.
Cik B atau nama sebenarnya Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, 21, berkata, rutin setiap tahun tidak banyak berubah apabila dia lebih selesa berehat bersama keluarga terdekat sahaja.
“Setiap kali raya, rumah saya memang kosong dan sunyi. Jadi saya ambil peluang untuk tidur dan berehat sahaja.
“Biasanya kami akan buat rumah terbuka pada hari kelima. Sepanjang raya, saya hanya bersama mama, adik dan pembantu rumah, tetapi ada juga saudara-mara datang berkunjung,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah anak kepada usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida itu, suasana Syawal semakin berubah berikutan kehilangan dan ketiadaan ahli keluarga seperti dahulu.
“Dulu keluarga ramai, sekarang semakin kurang yang pulang beraya. Saya sendiri sukar gambarkan perasaan itu.
“Masa kecil, raya sangat seronok sebab hanya fikir mahu bermain. Sekarang, raya terasa biasa sahaja, tidak seindah dulu,” ujarnya.
Menariknya, pelantun lagu Doakan itu mendedahkan dirinya hanya mengenakan pakaian tradisional untuk tempoh singkat sebelum kembali kepada gaya santai.
“Baju raya saya cuma sepasang sahaja. Pakai sekejap dalam dua jam untuk ambil gambar, kemudian tukar semula kepada hoodie.
“Biasanya saya bangun lewat, tidur semula dan hanya bersiap sekitar pukul 4 petang untuk sesi bergambar,” luahnya berseloroh.
Malah, Cik B secara jujur mengakui lebih menyukai suasana Ramadan berbanding Syawal kerana merasakan bulan tersebut lebih memberi ketenangan dan keberkatan.
“Saya hanya sarung baju kurung untuk gambar. Lepas itu tukar semula dan sambung main permainan video.
“Bagi saya, Ramadan lebih bermakna. Suasananya lebih tenang dan penuh keberkatan berbanding hari raya,” tuturnya. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
7


















![[VIDEO] ‘Silakan berlumba, aku dah standby van jenazah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-22-at-9.18.12-AM.jpeg)






























